Seorang lelaki melihat paparan gelung Olimpik yang dipasang di Mardaiba Marine Park di Tokyo pada 28 Februari 2020. Foto AFP
AGENDASUKANKINI

Atlet Olimpik Tokyo dijangka kembali berlatih bulan depan

SHAH ALAM, 13 MEI: Atlet di bawah program Road To Tokyo (RTT) 2020 dijangka meneruskan semula latihan pada minggu pertama Jun ini, maklum Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Bagaimanapun, keputusan itu bergantung kepada kebenaran agensi kerajaan berkaitan selepas beberapa persatuan sukan kebangsaan (NSA) mengesahkan perubahan kalendar kejohanan masing-masing susulan penularan Covid-19, lapor Sinar Harian.

Ketika ini, badan sukan tersebut sedang bekerjasama rapat dengan Majlis Sukan Negara serta Institut Sukan Negara bagi merealisasikan perkara berkenaan.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang sepatutnya berlangsung pertengahan tahun ini dijadualkan semula pada 23 Julai tahun hadapan dan berakhir pada 8 Ogos 2021.

Sementara itu, Lembaga Eksekutif MOM yang bermesyuarat semalam turut bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyemak semula perlembagaannya selepas kali terakhir dikemas kini pada Mei 2018.

Mesyuarat kali ke-19 bagi penggal 2018-2021 yang dipengerusikan Presiden MOM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria turut membincangkan acara sukan terjejas akibat pandemik dan kesannya kepada MOM serta NSA.


Pengarang :