Tiga sahabat (dari kiri) Nurul Izzah Latiffi, Faranafisha Ahmad Jani dan Aida Imannurshafiqah Abdullah berhari raya di sekitar rumah mereka pada 24 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Cegah Covid-19: Patuhi lima larangan ketika beraya

SHAH ALAM, 25 MEI: Dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, masyarakat diingatkan terus kekal mematuhi peraturan menyambut hari raya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Pasukan Petugas Covid-19 Selangor berkongsi lima aktiviti yang dilarang iaitu balik kampung, kunjung- mengunjungi ke rumah sanak-saudara dan rakan serta mengadakan rumah terbuka.

Tidak boleh bersalaman atau bersentuhan selain ziarah kubur, tahlil serta kenduri hari raya.

“Berayalah dengan selamat. Ingat, kita jaga kita,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Majlis Keselamatan Negera (MKN) hanya membenarkan aktiviti ziarah rentas daerah sahaja sempena Aidilfitri pada hari raya pertama semalam.

Orang ramai juga tidak dibenarkan rentas negeri bagi mengekang penularan Covid-19.

Semalam, Selangor mencatatkan 46 kes baharu Covid-19 daripada jumlah keseluruhan 60 kes di seluruh negara. Angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini meningkat kepada 1,776 kes.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan 1,692 kes, mencatatkan bilangan kedua tertinggi sebanyak 11 kes baharu dengan enam daripadanya kes import diikuti dua kes di Sabah manakala satu kes di Johor juga membabitkan kes import.


Pengarang :