Petugas keselamatan memeriksa suhu penghantar makanan di pusat membeli-belah Central i-City, Shah Alam pada 26 Mac 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Cegah Covid-19, wakil rakyat galak peniaga daftar SELangkah

SHAH ALAM, 7 MEI: Peniaga di kawasan Bukit Tunku digalak mendaftar inisiatif SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) bagi membantu menjejak kontak individu positif Covid-19 di premis mereka.

Ahli Dewan Negerinya Lim Yi Wei berkata aplikasi tersebut tidak memerlukan peniaga merekod butiran pelanggan secara manual malah data peribadi mereka turut dilindungi.

“Layari selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my untuk mendapatkan kod QR untuk imbasan pelanggan sebelum memasuki premis.

“Jika pelanggan tersebut dijangkiti Covid-19, Kementerian Kesihatan Malaysia akan dapat menjejaki kontak untuk ujian pengesanan,” katanya melalui hantaran di Facebook malam tadi.

Beliau berkata pusat khidmatnya sudah melaksanakan inisiatif tersebut, yang berupaya mengesan kehadiran pengunjung dan boleh dihubungi dengan mudah serta pantas.

Inisiatif dalam talian yang diperkenalkan Selangor pada 4 Mei lalu bertujuan mengesan kontak di mana-mana premis bagi mencegah penularan Covid-19.

Pemilik premis perlu mencetak sendiri kod QR dan mempamerkannya manakala pengunjung perlu mengimbas kod tersebut.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan SELangkah akan digunakan di semua premis kerajaan dan swasta berkuat kuasa serta-merta.


Pengarang :