AGENDAEKONOMI

Dagangan kontrak hadapan minyak sawit mentah kekal berhati-hati

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Dagangan kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal berhati-hati minggu depan berikutan tindakan peniaga menunggu data penawaran dan permintaan terkini yang akan diumumkan oleh Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA).

Pemilik/Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpejabat di Singapura, Dr Sathia Varqa memberitahu Bernama, pasaran akan turut mengikuti rapat data sebenar yang akan diumumkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia pada 12 Mei depan.

“Dagangan MSM dijangka bergantung kepada peningkatan pengeluaran. Sekiranya kenaikan itu sekitar 10-15 peratus atau lebih tinggi, ini akan menekan harga menjadi lebih rendah ke arah RM2,000 satu tan,” katanya.

Malah, katanya, sebarang penyusutan pengeluaran akan menyebabkan harga MSM ke paras RM2,100 satu tan berbanding RM2,082 pada masa ini.

Jurunilai kargo Intertek Testing Services pada Jumaat menyatakan eksport minyak sawit Malaysia bagi April meningkat 3.8 peratus kepada 1.17 juta tan daripada 1.13 juta tan pada Mac lepas.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran menyaksikan dagangan kebanyakannya tinggi, seiring dengan prestasi pasaran minyak soya selain pergerakan tinggi dan perkembangan berkaitan COVID-19.

Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM bagi Mei 2020 susut RM19 kepada RM2,102 satu tan, Jun 2020 meningkat RM17 kepada RM2,105 satu tan, Julai 2020 menambah RM13 kepada RM2,088 satu tan dan Ogos 2020 menambah RM6 kepada RM2,081 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 184,464 lot berbanding 337,648 lot pada Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 260,537 kontrak daripada 251,148 kontrak.

Di pasaran fizikal, harga MSM untuk Mei Selatan susut RM31 kepada RM2,095 satu tan.

-BERNAMA


Pengarang :