Petugas Kesihatan Selcare membuat Saringan Komuniti Covid-19 secara pandu lalu di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak di Selayang pada 22 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Duta Jepun hargai usaha Malaysia tangani Covid-19

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Kedutaan Jepun di Malaysia menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas usaha serta langkah berkesan kerajaan Malaysia dalam membendung penularan pandemik Covid-19.

Duta Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka berkata kadar kematian dan jangkitan di Malaysia lebih rendah berbanding purata global, ia jelas menunjukkan keberkesanan langkah pencegahan yang dilaksanakan.

“Langkah itu dilaksana dan disokong semua rakyat dan disiplin rakyat … ia sangat mengagumkan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas kejayaan mengharungi cabaran Covid-19,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan 63,000 penutup hidung dan mulut, disampaikan Persatuan Siswazah Jepun Malaysia (JAGAM) kepada institusi berkaitan dengan Jepun di kediaman rasmi duta di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden JAGAM, Gary Tang dalam ucapannya berkata JAGAM dan JAGAM Cawangan Jepun (Cawangan Sementara), dikenali JJB (PB) dengan kerjasama kedutaan Malaysia di Jepun berjaya mengumpulkan 62,000 keping penutup hidung dan mulut.

Ia akan diagihkan kepada 39 Sekolah Bahasa Jepun, kolej, universiti, Persatuan Pelajar Malaysia di Jepun serta Japan Foundation KL dan Japan Students Service Organisation (JASSO) yang berpusat di Kuala Lumpur, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :