Selangorkini
Pekerja kontraktor sedang membersih sekitar kawasan tanah runtuh di Taman Kelab Ukay Bukit Antarabangsa pada 30 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Operasi pindah penghuni Taman Kelab Ukay selesai

SHAH ALAM, 31 MEI: Operasi pemindahan penduduk terjejas susulan kejadian tanah runtuh di tujuh rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, selesai sepenuhnya jam 6 petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata semua 40 penghuni berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di Hotel de’ Palma Ampang.

“Operasi bomba di Jalan Kelab Ukay 4, Taman Kelab Ukay tamat sepenuhnya sebaik sahaja kediaman terjejas dikosongkan dan semua penghuni dipindahkan ke penempatan sementara.

“Ketika ini kerja pemasangan besi penahan tanah sedang dijalankan di belakang kawasan perumahan berkenaan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Sekitar jam 2.21 pagi semalam, semua penghuni terlibat diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan kejadian tanah runtuh di belakang rumah teres dua tingkat tersebut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang turut melawat kawasan kejadian memutuskan membiayai penginapan mereka yang terkesan di Hotel de’ Palma bagi tempoh seminggu sebelum Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mencari rumah sewa.

Semalam Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata sebanyak RM2 juta diperuntuk bagi kos pembaikan melibatkan pembinaan tembok penahan di kawasan runtuhan dan kerja baik pulih itu dijangka mengambil masa enam bulan.


Pengarang :