Imam dan kakitangan Masjid Negara mengerjakan solat sunat terawih dan mempraktikan jarak sosial berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada 11 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM seru umat Islam patuhi SOP solat jemaah Aidilfitri

SHAH ALAM, 23 MEI: Perdana Menteri mengingatkan umat Islam yang dibenarkan solat berjemaah dan solat sunat Aidilfitri esok agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata imam juga diminta mengingatkan makmum mengenai peraturan solat yang dibenarkan bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Beliau turut mengingatkan agar semua jemaah mengambil wuduk di rumah masing-masing dan mematuhi prosedur pengambilan suhu badan selain membawa sendiri sejadah.

“Ketika hendak mulakan solat, biasanya imam akan kata rapat-rapatkan saf. Kali ini tidak, untuk menjaga penjarakan sosial imam mesti ingatkan makmum supaya renggang-renggangkan saf. Ini lebih afdal.

“Selepas solat, tak perlu bersalaman dengan jemaah yang lain,” katanya dalam Perutusan Khas Aidilfitri Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di semua stesen televisyen malam ini.

Pada masa sama, Muhyiddin mengigatkan seluruh umat Islam mengelakkan bersalaman sebaliknya cukup sekadar tunduk sebagai tanda hormat.


Pengarang :