Orang ramai yang tidak dapat pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Puasa mengambil kesempatan bersiar-siar dan bergambar di sekitar Putrajaya pada 24 MEI 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Putrajaya jadi tumpuan warga tidak balik ke kampung

PUTRAJAYA, 24 MEI: Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, yang lazimnya lengang ketika cuti umum Aidilfitri, hari ini ceria dengan kehadiran orang ramai yang lengkap dengan pakaian hari raya.

Mereka yang kebanyakannya tidak dapat pulang ke kampung halaman berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mencegah penularan Covid-19, datang untuk bersiar-siar dan bergambar di lokasi-lokasi menarik dan bangunan-bangunan ikonik di sini.

Seorang pengunjung, Abu Bakar Burhanuddin hadir bersama seorang rakannya dari Kuala Lumpur untuk bersiar-siar bagi menghilangkan kebosanan di rumah.

Katanya pada setiap tahun, beliau pulang ke rumah datuknya di Johor selepas solat sunat Aidilfitri, namun kali ini beliau terpaksa akur berhari raya di ibu kota bagi mematuhi PKPB.

“Saya tak kisah pun tak dapat balik kampung sebab kita mesti ikut norma baharu, jaga penjarakan sosial dan sebagainya.

“Suasana pun sangat berbeza, tiada solat hari raya di masjid dan selalunya Kuala Lumpur dan Putrajaya lengang, tetapi kali ini ramai orang dan kenderaan di jalan raya pun banyak,” katanya.

Bagi Siti Nabilah Zulkifli, 35, beliau bersama-sama keluarga mengambil kesempatan bersiar-siar dan bergambar di Putrajaya bagi menceriakan anak-anak kerana tidak pulang berhari raya di Kedah.

“Pada mulanya kami hanya ingin makan-makan dan berehat sahaja di rumah di Seri Kembangan, tetapi anak-anak nampak bosan, jadi kami ke sini untuk bersiar-siar,” katanya.

Amirul Adli Razali, 33, berkata ini kali pertama beliau bersama isteri dan anak-anak tidak pulang ke kampung halaman di Bachok, Kelantan untuk menyambut Aidilfitri.

“Disebabkan tak dapat ziarah rumah saudara-mara, jadi saya bawa anak-anak bersiar-siar ambil gambar,” kata petugas di Kementerian Pendidikan itu.

Dalam pada itu, beberapa kereta peronda polis kelihatan membuat pemantauan di sekitar Putrajaya bagi memastikan orang ramai tidak berkumpul dan mematuhi amalan penjarakan sosial.

-BERNAMA


Pengarang :