AGENDABERITA UTAMANASIONAL

70 juta buku tersadai, jualan e-dagang terbesar jadi penyelesai

SHAH ALAM, 26 JUN: Hampir 70 juta buku terkumpul di gudang selepas Pesta Buku Kuala Lumpur 2020 (PBKL 2020) terpaksa ditangguhkan susulan penularan Covid-19, kata pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).

Khair Ngadiron berkata walaupun jualan buku mula beralih secara dalam talian namun kesan pandemik masih dirasakan industri kerana banyak urusan berubah berbanding sebelum ini.

“Kita sedang melihat sama ada jualan secara dalam talian ini memberikan kesan langsung atau tidak tetapi jualan secara fizikal masih perlu.

“Pembelian secara organisasi misalnya sekolah biasanya menggunakan surat tawaran dan agak sukar dijalankan melalui dalam talian,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Beliau berkata bagi mengurangkan kesan penangguhan PBKL 2020, MBKM mengambil pendekatan baharu dengan menganjurkan jualan buku terbesar menerusi laman e-dagang Shopee bermula 26 Jun hingga 8 Julai hadapan.

Menurutnya, sebanyak 140 penjual menyertai jualan ini dengan pelbagai tawaran potongan harga bagi menggantikan pesta buku yang sepatutnya berlangsung pada 27 Mac hingga 5 April lalu.

Bagaimanapun, MBKM tetap menganjurkan pesta buku selepas Covid-19 dikawal sepenuhnya bagi memenuhi permintaan pasaran kerana jualan secara fizikal masih relevan sambil disokong perkembangan perniagaan dalam talian.

Sementara itu, Khir menjelaskan penstrukturan perniagaan yang dilakukan beberapa gedung jualan buku tempatan bukan isu pelik kerana berdasarkan keadaan semasa ia perlu bagi meneruskan operasi.

“Saya melihat memang mungkin ada penstrukturan semula perniagaan. Sebagai contoh dahulu mungkin ada 20 kedai buku tetapi dengan jualan secara dalam talian mungkin empat kedai buku sahaja sesuai di sesuatu kawasan.

“Kewujudan medium jualan secara dalam talian dan fizikal sebenarnya menunjukkan industri buku saling melengkapi,” katanya.


Pengarang :