Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan ketika merasmikan Kongres Nasional KEADILAN Ke-14 di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Melaka pada 7 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar: Jangan biarkan ‘perompak’ kaut kekayaan dilepaskan

SHAH ALAM, 15 JUN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik sikap sesetengah pihak yang membiarkan ‘perompak’ mengaut kekayaan negara dilepaskan begitu sahaja.

Ketua pembangkang juga kesal berikutan kerajaan Persekutuan cuba melembutkan hati rakyat supaya menghalalkan perbuatan tersebut melalui pemberian sedikit bantuan.

“Orang ambil ringan, jika dapat RM400 tak apalah, rompak-rompaklah, sedangkan lupa jika kita tidak betulkan hutang negara, yang akan bayar adalah rakyat,” katanya tanpa menjelaskan butiran bantuan tersebut.

Pada 14 Mei lalu, Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri Datuk Seri Najib Razak, dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram RM1.25 bilion berkait kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad.

Pada 9 Jun lalu, bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman pula dilepas dan dibebaskan daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Justeru, presiden Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) mengingatkan semua pihak, kerajaan akan membebankan rakyat dengan peningkatan kadar cukai bagi membayar hutang negara.

“Negara akan bayar hutang dengan cara meningkatkan cukai, cukai yang dibayar oleh rakyat,” katanya ketika siaran langsung di Facebook malam tadi.

Anwar turut mengulangi kecaman terhadap sikap pemimpin tamak yang mengumpul kekayaan dengan membolot pelbagai jawatan penting dalam kerajaan.

“Hentikanlah nafsu serakah mengumpul kekayaan, ini orang yang sama jadi ahli parlimen dan dialah orang sama menjadi pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” tegasnya.


Pengarang :