Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 1 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Kes harian sejajar unjuran Institut Kesihatan Negara

SHAH ALAM, 1 JUN: Jumlah kes harian Covid-19 membabitkan rakyat Malaysia sejajar unjuran dibuat menggunakan kaedah pemodelan oleh Institut Kesihatan Negara (NIH), kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan jangkitan harian itu tidak termasuk kes import, warga asing yang tinggal dalam komuniti dan bukan warganegara di Depot Tahanan Imigresen (DTI).

“KKM ingin mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia atas kerjasama dengan kerajaan bagi pencapaian ini dalam usaha membendung penularan jangkitan Covid-19.

“Namun, masyarakat harus kekal waspada dan patuh kepada SOP serta saranan ditetapkan bagi memastikan tiada peningkatan kes dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham mengakui negara berdepan cabaran baharu yang perlu ditangani bersama membabitkan peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan warga asing.

Katanya penularan kes dalam kalangan bukan warganegara terutama di beberapa DTI dan pekerja warga asing pelbagai sektor meningkat secara ketara mulai 29 April lalu.

“Namun, golongan bukan warganegara tidak harus disisih oleh masyarakat sebaliknya membantu mereka mengurangkan penularan wabak di negara ini.

“Setiap tahun, pergaulan dan percampuran rakyat Malaysia dengan mereka (bukan warganegara) sememangnya terhad tetapi kehadiran mereka membantu memperkasa ekonomi negara,” katanya.


Pengarang :