Petugas Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Langat mengambil sampel cecair mulut dan hidung penduduk setempat di Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 4 Jun 2020. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Covid-19: Saringan berterusan di rumah jagaan warga emas seluruh daerah

SHAH ALAM, 18 JUN: Kerajaan Negeri melakukan saringan Covid-19 secara berterusan ke atas semua penghuni dan penjaga rumah jagaan warga emas di seluruh daerah bagi mengesan jangkitan wabak.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia berikutan wabak tersebut boleh menjangkiti sesiapa sahaja pada bila-bila masa sekiranya langkah penjagaan dan kebersihan tidak diberi perhatian.

“Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memang pergi ke semua rumah jagaan dan buat saringan kepada penghuni serta pengurus di sana. Malah, saringan dibantu oleh Selcare Clinic Sdn Bhd yang mewakili Kerajaan Negeri ketika pertama kali (saringan) dibuat di rumah penjagaan di Kuala Langat.

“(Saringan) akan berterusan kerana anda mungkin negatif (Covid-19) hari ini dan positif pada hari seterusnya sebab jangkitan itu boleh berlaku,” kata EXCO kesihatan pada sidang media selepas mempengerusikan Taklimat Garis Panduan Pembukaan Semula Rumah Ibadat Selain Islam (Risi) di Bilik Gerakan Dewan Annex di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan pengusaha rumah jagaan warga emas meningkatkan tahap kebersihan dan kesihatan di premis selain mengamalkan kawalan kendiri bagi mengelakkan diri daripada terkena jangkitan Covid-19.

Pada 15 Jun lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan satu kluster baharu membabitkan sebuah rumah penjagaan warga emas di Kuala Selangor selepas terdapat tiga kes positif Covid-19 di pusat jagaan tersebut.


Pengarang :