Sumber; BERNAMA
AGENDAEKONOMI

Daftar dengan MyIPO lindungi hak cipta elak diciplak

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Usahawan tempatan disaran mendaftar perniagaan mereka dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi mengelak hak cipta produk keluaran masing-masing diciplak.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Alamin, berkata kesedaran terhadap pendaftaran harta intelek masih kurang kerana ia tidak diwajibkan dalam kalangan usahawan tempatan.

“Hanya mendaftar dengan MyIPO boleh melindungi hak cipta mereka…jangan ‘sudah terhantuk baru terngadah’, buat segala persiapan dahulu sebelum memasarkan produk bagi memastikan perniagaan lebih selamat dan lebih berdaya saing.

“Mereka masih lagi ada ruang perundangan terhadap mana-mana pihak yang didapati menciplak hasil kerja mereka jika masih belum berdaftar. Namun mungkin kita akan wujudkan satu ruang kaunseling kepada mereka yang menghadapi situasi sebegini,” katanya dalam taklimat media ‘Impak Covid-19 kepada Pendaftaran MyIPO’, di sini, hari ini.

Sementara itu katanya, MyIPO menerima sebanyak 14,945 permohonan pendaftaran harta intelek bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, iaitu 11,725 bagi cap dagangan, 2,594 paten, 625 reka bentuk perindustrian dan satu petunjuk geografi.

Ia termasuk 3,759 permohonan dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac hingga 31 Mei lepas.

Daripada jumlah itu, MyIPO meluluskan sebanyak 12,917 pendaftaran harta intelek termasuk 10,768 untuk cap dagangan, 1,825 paten, 317 reka bentuk perindustrian dan tujuh petunjuk geografi, katanya.

-BERNAMA


Pengarang :