PENDAPATRENCANA

Demi kemaslahatan rakyat, kuasai teknologi depani cabaran pandemik

Kita telah memasuki minggu kedua fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Alhamdulillah, kita dapat sedikit menarik nafas lega kerana kes wabak Covid-19 ini telah mula dapat diturunkan kepada satu angka. Kenderaan di jalanan semakin bertambah, kita melihat perniagaan sudah mula dapat beroperasi dan masyarakat juga menikmati udara segar di taman rekreasi setelah lama berkurung di rumah sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020.

Secara umumnya, fasa pemulihan ini adalah untuk mengembalikan semula kualiti kehidupan kepada rakyat dan pada masa sama juga menghidupkan kembali aktiviti ekonomi yang terbantut disebabkan pandemik ini. Adakah ini bermakna semua telah kembali kepada biasa? Sudah tentu tidak. Saat menarik nafas lega, kita melihat negara-negara besar seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom masih lagi bertarung dengan wabak ini, begitu juga dengan beberapa negara jiran kita yang masih tinggi kes jangkitan harian mereka.

Selagi vaksin masih belum ditemui selagi itulah kehidupan yang ada sekarang adalah norma baharu yang perlu kita patuhi. Kerana itu penting untuk terus menjaga penjarakan sosial dan memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam dan jangan lupa menggunakan aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) dan aplikasi pengesanan kontak disediakan kerajaan.

Saya mengambil maklum komen-komen positif di media sosial berkenaan sistem pengesanan kontak SELangkah yang disediakan oleh Kerajaan Negeri. Menurut data yang dikumpulkan sistem ini bukan sahaja digunakan di Selangor tetapi juga di negeri-negeri yang lain kerana sistemnya mudah dan mesra pengguna. Sistem percuma ini memberi kemudahan kepada premis perniagaan, pejabat kerajaan dan swasta, restoran, pasar raya, lapangan terbang dan sebagainya.

Sistem ini telah menjadi pilihan 7-Eleven, Ikea, pasaraya Aeon, Burger King, Coffee Bean & Tea Leaf, Pavillion Kuala Lumpur, Baskin-Robbins, Malaysia Airports dan banyak lagi premis komersial yang lain. Ini satu kebanggaan untuk Selangor kerana kita berjaya membuktikan bahawa aplikasi teknologi yang dihasilkan dengan baik dapat membantu menjaga kemaslahatan rakyat.

Menuju negeri pintar

Pengalihan kepada teknologi maklumat dan digitalisasi dalam pentadbiran negeri bukanlah sesuatu yang baharu kepada Kerajaan Negeri bahkan inisiatif Smart Selangor telah meletakkan negeri ini sebagai perintis awal konsep negeri pintar di negara ini.

Sudah tentu kehadiran wabak ini mempercepatkan lagi penerimaan dan penggunaan teknologi di dalam kehidupan sehari-hari kerana mungkin kita tidak punya pilihan yang lain tetapi akhirnya mungkin pilihan itu menjadi norma baharu kerana ada kebaikan yang terhasil daripadanya. Sebagai contoh pada waktu yang biasa kita mungkin lebih suka bertemu empat mata untuk berbincang dan bermesyuarat berbanding panggilan video dalam talian tetapi oleh kerana wabak tersebut kita terpaksa menggunakannya.

Penggunaan itu akan menjadi kebiasaan dan menyebabkan kita mula menyedari kebaikan daripadanya seperti menjimatkan masa dan wang dan pada masa yang sama mengurangkan kesan jejak karbon terhasil daripada kenderaan.

Begitu juga dengan tabiat-tabiat yang lain seperti meluangkan lebih waktu untuk keluarga, berjimat dengan memasak di rumah, menumpukan perhatian kepada hobi baharu yang berfaedah. Itu juga dilihat daripada aspek peribadi seorang individu. Norma baharu ini juga akan memberikan kesan kepada organisasi dan juga syarikat-syarikat menguruskan perniagaan mereka.

Peningkatan perbelanjaan dalam talian menyebabkan banyak perniagaan mengambil tindakan segera untuk menyediakan perkhidmatan itu. Saya percaya walaupun untuk sesetengah perniagaan mungkin pendapatan mereka meningkat pada waktu wabak ini namun banyak juga yang tidak begitu tetapi sekurang-kurangnya perkhidmatan dalam talian dan digitalisasi perniagaan mereka pada waktu ini akan menjadi saluran hasil baharu yang mereka akan tetap kekalkan walaupun selepas pandemik ini berakhir.

Di dalam tulisannya di Financial Times, Profesor Yuval Hariri mengungkapkan dengan menarik tentang bagaimana pemikiran manusia dapat berubah dengan begitu cepat di waktu krisis ini. Pada waktu biasa mungkin ada manusia yang sengaja memilih untuk tidak patuh dengan arahan kerajaan tetapi pada waktu krisis ini merekalah yang menjadi warganegara yang paling baik. Begitu juga dengan jenis orang yang skeptikal terhadap ilmu pengetahuan dan sains seperti golongan anti vaksin yang “terpaksa” untuk belajar mempercayai kenyataan-kenyataan pakar perubatan dan juga data-data yang sahih berbanding terpengaruh dengan teori konspirasi dan khabar angin tidak berasas.

Kawan atau lawan?

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita berkenaan penangkapan warga Singapura yang telah menggunakan dron untuk membawa dadah merentasi sempadan negara dari Johor. Masih jelas dalam ingatan sewaktu fasa awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana ada penghantar Bungkusit telah melaporkan kepada pihak polis kerana dadah dijumpai di dalam roti canai yang dihantarnya. Dikatakan bahawa urusan jual-beli begini berlaku melalui WeChat dan Telegram.

Dengan tutupnya ‘pusat pengedaran’ dadah yang biasa seperti kelab malam dan karaoke, ternyata pedagang ini semakin kreatif dan mula membuat inovasi dengan penggunaan teknologi yang lebih canggih, sepertimana pelacuran gaya baharu melalui Instagram dan WhatsApp. Beberapa contoh ini menunjukkan penyalahgunaan teknologi dalam melalui hari-hari dengan wabak Covid-19 sebagai latar.

(Bagaimanapun, penting untuk dinyatakan di sini betapa penjualan dadah dan jenayah secara amnya jatuh mendadak semenjak PKP dikuatkuasakan—terima kasih kepada kawalan sempadan yang baik oleh pihak berwajib)

Lebih berbahaya, pelbagai jenis dadah dan juga barangan larangan seperti senjata api, organ manusia, sekadar menyebut beberapa contoh semakin mudah diperdagangkan dari segenap pelusuk dunia melalui landasan e-dagang haram yang tersembunyi di ‘lautan paling dalam’ jaringan internet yang dipanggil ‘Dark Web’.

Melalui internet-dalam-internet inilah bahan-bahan porno ekstrem turut didapati secara meluas: dan ia bukan suatu fenomena asing malah ia telah ‘bertapak’ di sini. Masih kita ingat tentang jurugambar warga British yang telah memangsakan ramai kanak-kanak Malaysia sebagai subjek lucahnya? Dan juga genius matematik warga Malaysia yang ditangkap di Britain dengan 30,000 keping gambar lucah kanak-kanak?

*Kenyataan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari

BAHAGIAN 2 BERSAMBUNG MINGGU HADAPAN


Pengarang :