Tinjauan SelangorKini di Pasar Pagi MPSJ Bandar Puchong Jaya yang kembali dibuka pada 16 Jun 2020 dengan pematuhan SOP ketat. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: SOP pasar di Selangor kekal, jamin keselamatan semua pihak

AMPANG, 19 JUN: Selangor tidak bercadang meminda tatacara operasi piawai (SOP) pasar pagi, pasar malam dan bazaria yang dilaksanakan ketika ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata garis panduan sedia ada oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Keselamatan Negara memuaskan serta menjamin keselamatan semua pihak.

“Selangor akan kekal dengan SOP sekarang kerana keselamatan adalah penting. Semua pihak harus sesuaikan diri…kita tidak mahu timbul kluster baharu dari pasar,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pasar pagi Taman Muda di sini hari ini.

Selasa lalu, 500 penjaja dan peniaga Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman menangguh hasrat menjalankan semula perniagaan susulan SOP terlalu ketat. Perkara tersebut kini diteliti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Sementara itu, Sze Han meminta peniaga serta pembeli bekerjasama dengan PBT bagi melancarkan operasi perniagaan sekali gus mencegah penularan Covid-19.

“Norma baharu yang diamalkan ketika ini memerlukan masa untuk disesuaikan, namun ini adalah langkah terbaik dengan penerapan semangat kita jaga kita,” katanya lagi.

Bermula Isnin lalu, sebanyak 417 pasar pagi, pasar malam dan bazaria dibuka berperingkat di lokasi terpilih seluruh negeri.


Pengarang :