Selangorkini
AGENDA NASIONAL

FOMCA sambut baik rebat bil elektrik, saran semakan semula blok tarif

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyambut baik skim Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan yang diumumkan hari ini yang disifatkan dapat meringankan beban pengguna.

Ketua Pegawai Operasi FOMCA T Saravanan berkata gabungan itu juga percaya pelaksanaan skim tersebut dapat memberikan lebih banyak masa kepada pengguna untuk pulih dari segi kewangan.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini sebagai mengulas pengumuman kerajaan berhubung pelaksanaan rebat bil elektrik dan diskaun berjumlah RM942 juta bagi pengguna domestik untuk bulan April, Mei dan Jun.

Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata di bawah skim bantuan berkenaan, kira-kira empat juta atau 52.2 peratus pengguna domestik yang mempunyai bil elektrik bawah RM77 sebulan atau penggunaan kurang 300 kWh akan menikmati bekalan elektrik percuma selama tiga bulan.

Pada masa sama, FOMCA mencadangkan agar struktur blok tarif yang digunakan sekarang disemak semula kerana sudah ketinggalan zaman selain berbentuk menghukum pengguna bagi penggunaan yang tinggi sekalipun matlamatnya untuk menggalakkan penggunaan tenaga yang cekap serta mengurangkan impak ke atas alam sekitar.

“Pada masa sekarang kita ada banyak sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar yang diusahakan pada skala besar dan mampu menjana tenaga hijau. Justeru, kita perlu melihat pada penstrukturan semula blok tarif ini,” katanya.

Selain itu, FOMCA juga menggesa pihak berkuasa berkaitan agar mempercepat pemasangan meter pintar di rumah bagi mengelakkan isu berkaitan bil elektrik berulang sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sekali lagi.

“Meter pintar membolehkan pengguna melihat data penggunaan pada masa sebenar setiap setengah jam.

“Bacaan meter juga tidak memerlukan kehadiran fizikal pembaca meter memandangkan pelaksanaan meter pintar merupakan komunikasi dua hala, sekali gus membolehkan bacaan meter dikemas kini kepada pembekal utiliti secara jarak jauh,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :