Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

Jual biskut ganja, pasangan kekasih diberkas

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Operasi sepasang kekasih menjual ‘biskut raya’ yang disyaki dicampur ganja sejak tiga bulan lepas berakhir pada Selasa lalu apabila mereka diberkas polis dalam operasi di kawasan letak kereta sebuah kondominium di Jalan Pinang di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata dalam serbuan pada 7.45 malam, kedua-dua suspek yang berusia 40 dan 41 tahun diberkas selepas pemeriksaan ke atas kenderaan milik suspek menemukan ganja seberat 2,775 gram dan 24 botol biskut seberat 2,500 gram yang disyaki mengandungi cecair ganja.

Susulan penahanan pasangan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Alam Budiman, Shah Alam pada 2.30 pagi Rabu, katanya dalam kenyataan.

“Kita menemukan dadah disyaki jenis ganja dengan berat 4,111 gram bersama minyak ganja dengan anggaran berat 173 gram.

“Turut dirampas beberapa buah kenderaan, wang tunai, bar emas sebanyak 515 keping dan bar perak sebanyak 400 keping yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM277,834,” katanya.

Beliau berkata suspek lelaki direman tujuh hari, manakala teman wanitanya direman empat hari, kedua-duanya bermula Rabu, bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

-BERNAMA


Pengarang :