Notis penutupan ditampal pada dinding selepas Kompleks Pasar Meru, Klang diarahkan tutup semasa operasi bersepadu Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di Meru pada 5 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kompleks Pasar Meru dibuka semula – JKNS

SHAH ALAM, 12 JUN: Kompleks Pasar Meru, Klang serta 15 premis lain sekitarnya yang diarah tutup minggu lalu dibenarkan beroperasi semula semalam selepas mematuhi arahan, kata pengarah kesihatan Selangor.

Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata bagaimanapun empat premis lagi masih ditutup kerana gagal mengikut arahan.

“Premis dibuka akan dipantau setiap masa bagi memastikan tatacara operasi piawaian (SOP) dipatuhi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada 5 Jun lalu, kompleks pasar berkenaan diarah tutup serta merta selepas pemilik premis melanggar SOP dengan tidak melakukan pemeriksaan suhu badan, pendaftaran peniaga, penjarakan sosial dan kemasukan pelanggan tanpa had.

Sementara itu, Dr Sha’ari berkata selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei, sebanyak 1,466 premis seluruh Selangor dipantau dan 55 darinya diarahkan tutup.

“Pantauan akan terus dilakukan bagi memastikan setiap pihak mematuhi ketetapan. Amalkan penjarakan, pakai pelitup muka dan kerap cuci tangan selain tidak bawa golongan berisiko ke tempat awam,” katanya.


Pengarang :