Pengusaha Goldcut Barbershop di Balakong, Harriz Ahmad, 29 mengenakan apron dan pelindung muka ketika menggunting rambut pelanggan dalam tinjauan pada 11 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pelanggan berhak minta bukti penggunting rambut bebas Covid-19

SHAH ALAM, 12 JUN: Pelanggan berhak meminta sijil kesihatan bebas Covid-19 daripada penggunting rambut terutama membabitkan pekerja warga asing sebelum mendapatkan perkhidmatan mereka, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jika mereka gagal mengemukakan dokumen tersebut orang awam boleh laporkan kepada pihak berkuasa.

“Kebiasaannya klinik akan keluarkan surat yang menyatakan tidak dijangkiti. Oleh itu, pengunjung yang mahu gunting rambut berhak minta dari mereka.

“Justeru, saya minta masyarakat boleh bantu kerajaan untuk mengesan mereka yang gagal kemukakan dokumen untuk laporkan terus kepada pihak berkuasa. Hal ini jelas pekerja asing yang belum ada sijil saringan telah melanggar perintah kerajaan,” kata beliau pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai isu tular pekerja kedai gunting rambut disahkan positif di Setapak, Ismail Sabri berkata beliau belum menerima laporan terperinci tetapi jika benar premis akan ditutup dan kontak rapat turut dikesan.

“Saya belum dapat laporan terkini. Mungkin ketua pengarah kesihatan akan beri komen pada sidang medianya petang ini. Saya tidak boleh sahkan ya atau tidak,” kata beliau.


Pengarang :