Petugas melakukan pembersihan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) menjelang pembukaan semula sekolah esok. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Persiapan cukup untuk pembukaan sekolah esok – Mohd Radzi

PUTRAJAYA, 23 JUN: Banyak pihak termasuk sekolah, pelajar dan ibu bapa dilihat sudah melakukan persiapan yang cukup untuk pembukaan semula sekolah esok serta mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah, kata Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata pejabat pendidikan daerah akan melakukan pemeriksaan dan pemantauan berterusan bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dan garis panduan mengenainya dipatuhi apabila sekolah dibuka.

Mohd Radzi sebelum ini mengumumkan sekolah akan dibuka semula esok melibatkan pelajar tingkatan lima dan enam yang akan menduduki peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

“Kepada ibu bapa, jika anak tidak sihat jangan hantar ke sekolah esok dan hari-hari berikutnya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelajar kembali ke asrama di Sekolah Sultan Alam Shah, di sini hari ini.

Seratus lima puluh pelajar lelaki tingkatan lima mendaftar di asrama sekolah itu hari ini bagi memulakan kelas esok.

Dalam tinjauan itu, Mohd Radzi melihat susun atur katil dan lokar di asrama selain memeriksa SOP di dewan makan yang hanya tiga pelajar dibenarkan makan semeja.

Mohd Radzi berkata Kementerian Pendidikan akan menganalisis situasi selepas Tingkatan Enam Atas dan Tingkatan Lima memulakan kelas dan berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia serta Majlis Keselamatan Negara sebelum memutuskan bila pelajar lain boleh kembali ke sekolah.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Mohd Radzi berkata pematuhan SOP yang dilaksanakan ketika ini dapat membantu sekolah untuk bersedia menerima lebih ramai pelajar pada masa akan datang.

Beliau berkata pematuhan SOP akan memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk menghantar semula anak mereka mengikuti pembelajaran di sekolah dengan kebiasaan baharu.

“Hampir keseluruhan sekolah bersedia dan kita beri keutamaan penting melihat SOP ini sebagai langkah berikutnya pembukaan semula sekolah kepada pelajar lain agar mereka juga dapat kembali ke sekolah,” katanya selepas melawat Sekolah Menengah Sains Selangor di Cheras di sini.

Beliau berkata, pemantauan akan dilakukan di sekolah-sekolah di seluruh negara bagi melihat ruang penambahbaikan dengan pihak sekolah diberi nasihat untuk persediaan yang lebih baik.

Seratus tujuh pelajar tingkatan lima telah mendaftar di asrama sekolah itu hari ini bagi memulakan sesi persekolahan esok.

– BERNAMA


Pengarang :