Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang. Foto SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor benar solat di masjid mulai esok, jemaah hingga 40 orang

SHAH ALAM, 11 JUN: Bilangan jemaah untuk menunaikan solat Jumaat dan fardu berjemaah di 39 buah masjid di Selangor ditambah daripada 12 kepada 40 orang berkuat kuasa esok.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah jumlah itu tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid dan jemaah akan diberikan kad.

“Bagi yang tidak dapat menunaikan Solat Jumaat hendaklah digantikan dengan solat Zuhur di tempat masing-masing. Solat berjemaah pula hanya dibenarkan pada Subuh, Maghrib dan Isyak di 39 buah masjid yang sama,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Baginda turut bertitah jumlah jemaah yang boleh menunaikan solat di surau kekal tiga orang.

Pada 1 Jun lalu, Sultan Selangor menitahkan jumlah jemaah untuk mengerjakan solat berkenaan tidak melebihi 12 orang terdiri dalam kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid sahaja.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan jemaah supaya mematuhi garis panduan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Titah baginda Jabatan Agama Islam Selangor akan memantau secara berterusan bagi memastikan segala arahan dipatuhi.


Pengarang :