Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin (tengah) ketika sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 7 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

800 polis pantau pusat sembelih, masjid Selangor

SHAH ALAM, 28 JULAI: Lebih 800 anggota polis terbabit operasi khas sempena sambutan Aidiladha Jumaat ini, kata ketua polis Selangor.

Datuk Noor Azam Jamaludin berkata mereka ditempatkan di masjid dan pusat penyembelihan daerah bagi memantau pematuhan tatacara operasi piawaian (SOP) solat sunat raya dan ibadah korban.

“Mana-mana yang ingkar SOP akan terus dikenakan tindakan serta merta seperti kompaun dan denda.

“Polis Selangor mahu ingatkan semua pihak supaya patuh dan memberi kerjasama bagi memutuskan rantaian Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan SOP sambutan Aidiladha mengehadkan jumlah haiwan tidak lebih 10 ekor di tempat penyembelihan dan kehadiran sewaktu ibadah korban mengikut nisbah 20 orang untuk setiap haiwan.

Noor Azam menambah lebih 3,000 polis memantau keadaan semasa di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun lalu.

“Anggota turut dibantu Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan askar selain petugas Unit Rondaan Bermotor dan kereta peronda polis.”


Pengarang :