Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan pemeriksaan terhadap bas ekspress pada Operasi Khas Penguatkuasaan Bas Ekspress di Tol Gombak pada 22 Julai 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

JPJ kutip lebih RM8.5 bilion hasil bukan cukai 2018-2019

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip sejumlah RM8.5 bilion melalui sumber hasil bukan cukai pada tahun 2019 dan 2018.

Memberikan angka terperinci, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM4,317,189,192.16 merupakan hasil kutipan pada tahun lepas manakala RM4,233,171,543.31 pada 2018.

“Hasil kutipan bagi kedua-dua tahun berkenaan melalui saluran di kaunter fizikal JPJ adalah sebanyak RM5,028,984,496.37 bersamaan 58.82 peratus dan pada masa ini perkhidmatan kaunter fizikal JPJ melibatkan 15 JPJ negeri, 65 cawangan JPJ dan 19 JPJ UTC (Pusat Transformasi Bandar),” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Anthony Loke Siew Fook (PAKATAN-Seremban) yang ingin tahu jumlah hasil cukai dan hasil bukan cukai yang dipungut JPJ pada 2018 dan 2019 serta jumlah hasil yang dipungut melalui kaunter fizikal JPJ, saluran dalam talian (online) MySikap JPJ dan saluran dalam talian syarikat swasta.

Mengulas lanjut, Wee berkata kesemua jumlah berkenaan dikutip daripada hasil bukan cukai sahaja seperti pembayaran fi perkhidmatan pengeluaran lesen memandu, fi perkhidmatan urus niaga pendaftaran baharu kenderaan motor, fi dikenakan ke atas pembaharuan lesen kenderaan motor dan bayaran denda (saman).

-BERNAMA


Pengarang :