AGENDAEKONOMINASIONAL

MIDF Research: Unjuran harga minyak 2020 US$41 setong

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: MIDF Research mengekalkan andaian harga minyak mentah pada US$41 setong di celah-celah laporan negatif mengenai Covid-19 dan pemulihan permintaan yang lembap.

Dalam satu nota penyelidikan, firma itu berkata perkembangan negatif berhubung Covid-19 akan terus menjejaskan harga minyak memandangkan kes-kes baharu kian meningkat di 16 negara yang menguasai kira-kira 70 peratus penggunaan minyak mentah global.

Selain daripada itu, kemerosotan harga minyak susulan keputusan menurunkan pengurangan pengeluaran oleh Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) dan negara sekutu dijangka dapat dihalang oleh penurunan inventori minyak mentah seluruh dunia diikuti dengan permintaan yang kian pulih.

“Dengan demikian, kami menjangkakan pemulihan dalam permintaan untuk minyak mentah dalam suku akan datang. Bagaimanapun, kami juga percaya ianya tidak cukup kuat untuk menangani kesan perang dagangan antara AS-China,” katanya.

Firma penyelidikan itu turut mengekalkan saranan ‘neutral’ untuk kedua-dua sub-segmen hiliran dan huluan industri minyak dan gas berikutan terdapatnya beberapa peristiwa yang menjejaskan kestabilan harga minyak, pengurangan dalam perbelanjaan modal penggalian dan pengeluaran luar pesisir serta pemulihan permintaan secara berperingkat untuk produk berkaitan minyak seluruh dunia.

-BERNAMA


Pengarang :