AGENDANASIONAL

Perkeso: Program mini pekerjaan OKU diperluas

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merancang memperluas program Mini Karnival Pekerjaan Orang Kurang Upaya (OKU) ke negeri-negeri lain termasuk kawasan pedalaman bagi memberi peluang kepada golongan itu mendapatkan pekerjaan.

Perkeso dalam kenyataan semalam memaklumkan program di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) itu bertujuan membantu OKU yang berstatus pencari kerja, membuat persiapan ke alam pekerjaan serta menghadiri sesi temu duga terbuka.

“Antara lokasi lain penganjuran karnival akan datang ialah Pulau Pinang, Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan Perkeso melalui Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) telah menganjurkan karnival sehari itu di Wisma Perkeso, Kuala Lumpur, semalam yang menyaksikan sebanyak 1,310 peluang pekerjaan ditawarkan kepada OKU yang disertai sembilan majikan dan 154 OKU.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk taklimat kebolehpasaran pekerjaan, kaunseling kerjaya, kaunter MYFutureJobs dan sesi temu duga.

– BERNAMA


Pengarang :