Mohd Syafrin Syawal, 9, teruja menunjukkan kepada ibu dan kakaknya hasil lukisan peserta yang dipamerkan sempena Pertandingan Lakaran Rukun Negara anjuran PLUS Malaysia Berhad di Galeri Jejantas Sungai Buloh. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
PERSONALITIRENCANA

Wujud program wajib bentuk jati diri rakyat

Oleh Mohamad Harith Mohamad Nizar

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Dewasa ini, sering kali dibangkitkan kebimbangan terhadap generasi muda yang dilihat semakin hilang perwatakan nasional terutama dalam memperlihatkan identiti sebagai seorang warganegara Malaysia.

Orang muda dikatakan tidak patriotisme, kurang peka dengan keadaan sekeliling serta hanyut dengan ledakan teknologi dan media sosial yang menjadi ancaman terbesar generasi muda hari ini.

Kepincangan itu antara lain disebabkan jati diri yang lemah termasuk tiada penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara yang menjadi peranti sosiobudaya rakyat berbilang kaum di negara ini .

Mengangkat Rukun Negara sebagai panduan hidup yang lengkap bukan sahaja menjadi asas pembentukan negara bangsa tetapi turut membentuk sahsiah rakyat yang bertanggungjawab.

Melihat kepada senario itu, mahu atau tidak, program tatanegara atau kenegaraan perlu diperkemaskan dengan mewujudkan program lebih baik bagi memupuk penghayatan rakyat terhadap semangat Rukun Negara yang secara tidak langsung meningkatkan rasa cinta dan kesetiaan kepada tanah air.

Sudah tiba masanya, Malaysia melaksanakan program Khidmat Negara bagi membolehkan rakyat lebih menghayati Rukun Negara serta menimbulkan rasa sayang kepada negara, menurut Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Ismail Sualman.

Beliau berpendapat program yang lebih efektif menerusi Khidmat Negara sepertimana dilaksanakan di beberapa negara antaranya Singapura dan Korea Selatan dilihat lebih sesuai bagi meningkatkan penghayatan kenegaraan dalam kalangan generasi muda terutama bagi meningkatkan semangat patriotisme.

Empat anak muda (dari kiri) Nur Azwa Mohammad Rozy, 22, Nur Atierah Mohammad Rozy, 20, Nur Nisrina Mohammad Rozy, 14, dan Anis Arisha Zulaika Shamzul Anuar,16, meraikan sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara sambil memegang ‘flashcard’ di Kuala Perlis pada 9 Julai 2020. Foto BERNAMA

“Saya melihat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebelum ini tidak begitu efektif jika dibandingkan dengan Khidmat Negara.

“Kalau PLKN, ia tidak wajib kepada semua, tetapi kalau Khidmat Negara, ia wajib kepada semua. Kalau PLKN, hanya terpilih sahaja (ikuti program berkenaan),” katanya kepada Bernama sempena Ulang Tahun Rukun Negara ke-50, di sini, baru-baru ini.

Menjelaskan lanjut tentang program Khidmat Negara seperti dicadangkan, beliau berkata mereka yang berusia antara 18 dan 19 tahun wajib menyertai program itu dan sekiranya tidak boleh berbuat demikian pada usia tersebut disebabkan alasan munasabah antaranya melanjutkan pengajian, mereka perlu menyertainya sebelum memasuki dunia pekerjaan.

Ismail berkata Khidmat Negara itu juga perlu memperuntukkan tempat bagi mereka yang mempunyai masalah seperti orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya bagi memastikan penyertaan penuh rakyat.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menyatakan kerajaan akan menggantikan PLKN dan Biro TataNegara (BTN) yang dimansuhkan dengan program baharu yang sedang dimuktamadkan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd Rosidi Hassan memberikan pandangan berbeza apabila beliau mengharapkan PLKN dikembalikan semula serta ditambah baik pelaksanaan program berkenaan.

Katanya, jika sebelum ini PLKN dijalankan selama tiga bulan bagi satu sesi/siri, mungkin tempoh itu boleh dilanjutkan selama setahun atau dua tahun bagi memberi kesan mendalam kepada jati diri anak muda.

“Saya sarankan agar universiti dapat mengadakan program seperti PLKN supaya dapat kesan sebenar… barulah kekal jati diri itu dalam individu.

“Kita boleh cadangkan satu nama baharu dalam PLKN supaya lebih segar dan dinamik, tetapi lebih utama ialah pengisian dan kesinambungan program ini supaya boleh kekal dalam diri anak muda untuk masa akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Rosidi berharap Rukun Negara akan dijadikan kurikulum utama di sekolah dan dijadikan subjek wajib lulus bagi pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Jika sebelum ini diletakkan syarat bagi mereka yang ingin memasuki aliran sains wajib lulus Matematik, Sains dan Bahasa Melayu untuk menjaga entiti Bahasa Melayu.

“Saya rasa sekarang perlu dibuat sedikit pindaan, dengan memasukkan elemen Rukun Negara atau lulus subjek Rukun Negara kemudian barulah boleh dijadikan syarat untuk layak ke peringkat lebih tinggi. Jadikan ia sebagai subjek teras atau subjek utama,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :