Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah (depan, kanan) menyampaikan kit cegah Covid-19 kepada wakil SRA Sungai Lang Tengah. Foto: Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tanjong Sepat
ADNSELANGOR

ADN Tanjung Sepat sumbang kit cegah Covid-19 kepada sekolah

SHAH ALAM, 19 OGOS: Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat sumbang kit cegah Covid-19 kepada 22 sekolah di kawasannya sejak 5 Ogos lalu.

Borhan Aman Shah berkata setiap sekolah menerima 1,000 pelitup muka, 20 cecair pembasmi kuman, termometer dan semburan pembasmi kuman.

“Sumbangan ini bertujuan membantu sekolah di luar bandar khususnya yang kekurangan dana untuk membeli kit tersebut. Justeru, saya ambil inisiatif untuk membantu meringankan beban pihak sekolah,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Borhan turut menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan menjaga penjarakan sosial terutama kepada pelajar.

“Covid-19 masih wujud dan saya harap semua orang terus amalkan norma baharu dalam rutin harian walau di mana sahaja kita berada,” katanya.

Antara sekolah yang terima sumbangan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Sepat; SK Sungai Lang; SK Sungai Kelambu; SK Kampung Endah; SK Batu Laut; SK Sungai Rawang dan SK Bukit Bangkong.

Selain itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Teluk Merbau; SJKT Ladang Tumbok; SJKT Ladang Gadong; SJKC (Cina) Tanjung Sepat; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Sepat dan SMK Sungai Rawang.

Turut terima bantuan SMK Batu Laut; Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Lang Tengah; SRA Sungai Kelambu; SRA Kampung Endah; SRA Batu Laut; SRA Kundang; SRA Tanjung Sepat; SRA Kampung Bukit Bangkong dan KAFA Sungai Lang Baru.


Pengarang :