Seorang penduduk di Taman Kristal, Dengkil berjalan keluar dari kawasan rumahnya yang dinaiki air pada 19 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Cuaca tidak menentu, unit bencana fokus kawasan banjir kilat

SHAH ALAM, 7 OGOS: Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor memantau setiap masa kawasan kerap dilanda banjir kilat memandangkan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Ketuanya, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata antara kawasan terbabit di sekitar Kajang, Dengkil, Meru, Kapar dan Klang.

“Masalah ini banyak berlaku di Selangor jadi kita utamakan kawasan kerap mengalaminya. Dalam masa sama kita turut memantau keadaan ban yang berisiko pecah atau runtuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut berkomunikasi dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan semua kawasan terkawal.

“Agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) juga bersedia 24 jam dalam berdepan masalah seperti banjir kilat, tanah runtuh atau sebagainya,” katanya.

Pada 19 Julai lalu, sebanyak 41 kawasan di Hulu Langat, Sepang, Hulu Selangor, Gombak dan Klang dilanda banjir menyebabkan 265 penduduk daripada 62 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Perkara sama berulang lagi pada 31 Julai lalu di 20 kawasan sekitar daerah Sepang, Hulu Langat, Gombak dan Kuala Selangor.


Pengarang :