Bilal Surau Al-Jannah Jafrey Bol, 55, mengunci pintu pagar selepas Jabatan Agama Islam Selangor mengeluarkan notis penutupan surau itu pada 7 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

MB: Segera jejak kontak rapat jika ada kes positif

SHAH ALAM, 9 OGOS: Pencarian kontak rapat berkait kluster Sivagangga di Surau Al-Jannah di sini dibuat segera jika ada jemaah positif Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata laporan saringan masih belum diterima, namun Jawatankuasa Unit Bencana Negeri memantau rapat isu tersebut.

“Sekiranya hasil saringan jemaah negatif, maka kita selamat. Sekiranya positif, kita akan jalankan kerja pencarian kontak rapat secepat mungkin.

“Masyarakat kena faham Covid-19 masih ada dan kita perlu sentiasa berhati-hati serta amalkan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelak penularan wabak,” katanya selepas melancarkan Kempen Larangan Aktiviti Meminum Arak dan Menghisap Rokok (termasuk rokok elektronik) di Tasik Shah Alam.

Pada 7 Ogos lalu, Jabatan Agama Islam Selangor mengarahkan Surau Al-Jannah di Seksyen 23 di sini ditutup serta-merta susulan seorang jemaah dipercayai mempunyai kontak rapat dengan kluster Sivagangga.

Turut ditutup ialah Sekolah Kafa Integrasi Al-Jannah di lokasi sama.

Setakat semalam, Kementerian Kesihatan mengesan 43 kes Covid-19 termasuk kanak-kanak bagi kluster tersebut. Keseluruhannya seramai 4,198 individu disaring dengan 3,235 negatif dan 920 masih menunggu keputusan.


Pengarang :