Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kanan) bersama Pengetua Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Abd Halim Saljadi (kiri) melihat keadaaan asrama yang terbakar pada 6 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENSISELANGOR

Pelajar MITS dijangka kembali semula ke asrama pada 23 Ogos

SHAH ALAM, 10 OGOS: Kerja baik pulih asrama perempuan Maahad Intergrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kuala Langat, Banting yang rosak akibat kebakaran awal bulan ini dilaksanakan selepas memperoleh laporan forensik daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), kata pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Sehubungan itu, Mohd Shahzihan Ahmad berkata 131 pelajar yang terjejas insiden itu dijangka kembali semula ke asrama bagi menjalani proses pembelajaran selewat-lewatnya pada 23 Ogos ini.

“Mereka perlu kembali ke asrama segera bagi memudahkan proses menghafal al-Quran secara dalam talian yang menggunakan sistem tertentu. Oleh sebab itu, kerja baik pulih yang dianggarkan tidak kurang RM300,000 itu perlu dijalankan segera,” katanya ketika dihubungi.

Pada 4 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang melawat lokasi memaklumkan sejumlah RM300,000 disumbangkan kepada institusi berkenaan untuk membaiki struktur bangunan selain menambah baik aspek keselamatan bagi mengelak kejadian berulang.

Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin turut memberi bantuan awal RM2,000 bagi membantu pusat tahfiz mengendali kebajikan pelajar.


Pengarang :