Seorang wanita memakai pelitup muka ketika tinjauan orang ramai yang menggunakan pelitup muka sebelum 1 Ogos di Jalan Bukit Bintang. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pelitup muka bukan perubatan jenis fabrik tidak tepati ciri WHO

SHAH ALAM, 1 OGOS: Pelitup muka bukan perubatan jenis fabrik yang dijual di pasaran mungkin tidak menepati ciri disarankan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pelitup muka itu boleh dipakai namun keberkesanannya bergantung kepada jenis dan bilangan lapisan kain.

Katanya terdapat dua jenis pelitup muka boleh mencegah penularan Covid-19 iaitu pelitup muka perubatan dan pelitup muka bukan perubatan.

“Pelitup muka perubatan mempunyai tiga lapisan yang digunakan petugas kesihatan, orang awam bergejala saluran pernafasan, warga emas berusia 60 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.

“Pelitup bukan perubatan disyorkan kepada mereka yang tidak mengalami gejala namun berada di tempat yang sukar mengamalkan penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata penggunaan pelitup muka harus disertai amalan penjagaan kebersihan tangan dan penjarakan fizikal satu meter dengan orang lain.

“Pelitup muka tidak boleh dipakai kanak-kanak kurang dua tahun, individu sukar bernafas dan tidak sedarkan diri, kurang berupaya, atau tidak dapat menanggalkan pelitup muka tanpa bantuan.

“Alat ini juga tidak boleh dikongsi dan perlu dipakai serta dilupuskan dengan cara yang betul,” katanya.


Pengarang :