Atlet wushu Selangor menjalani latihan bagi persiapan Sukma di Pusat Latihan Wushu Selangor, Rawang pada 5 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Latihan atlet terus ikut SOP, peka perkembangan Covid-19

SHAH ALAM, 1 SEPT: Semua persatuan sukan dan atlet perlu kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) latihan selaras lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hingga 31 Disember.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata semua acara dibenar bersambung tanpa kehadiran penonton manakala penganjuran peringkat antarabangsa masih dilarang.

“Bagi memastikan keselamatan semua, penggiat sukan diharap dapat mengikuti SOP ditetapkan dan peka dengan keadaan serta perkembangan semasa Covid-19,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi.

Kementerian Belia dan Sukan menetapkan beberapa SOP antaranya mengimbas kod QR, memeriksa suhu badan sebelum masuk ke pusat latihan, memakai pelitup muka, mengamal penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bagi aktiviti statik serta tiga hingga lima meter bagi aktiviti dinamik.

Selain itu, pusat latihan juga perlu beroperasi secara berjadual, pembersihan dan proses nyah kuman mengikut kekerapan penggunaan serta melarang kemudahan tambahan seperti sauna dan jakuzi.

Pada 28 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan PKPP yang dilaksana sejak 10 Jun disambung hingga 31 Disember dengan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih boleh diambil.


Pengarang :