AGENSISELANGOR

Pantas MDKS pantau lima kawasan air naik lebih had

SHAH ALAM, 20 SEPT: Pasukan Tindakan Segera (Pantas) Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) memantau lima kawasan yang mencatat paras air melebihi had kebiasaan berikutan fenomena air pasang besar.

Komandernya berkata kawasan terbabit ialah Jeti Sky Mirror, Pasir Penambang, Dataran Keris, Pesisir Pantai Remis dan Sungai Buloh namun kejadian antara jam 6.30 hingga 9.30 pagi itu tidak membahayakan penduduk berhampiran.

“Cuma ada beberapa jalan dinaiki air antaranya di lampu isyarat Pasir Penambang yang sudah beransur pulih dan hanya satu lorong dibuka dari kedua-dua arah. Manakala beberapa kawasan lain berada dalam keadaan baik serta terkawal,” kata Mohd Lutfi Mislah Hudin kepada SelangorKini.

Terdahulu, skuad Pantas MDKS dengan kekuatan empat anggota membantu mengalihkan kenderaan beberapa pengguna jalan raya yang terperangkap akibat limpahan air setinggi paras paha di Jalan Kuala Selangor menghala ke Teluk Intan.

Difahamkan kesesakan kira-kira empat kilometer (km) dilaporkan berlaku di kedua-dua arah laluan berkenaan.

Pusat Hidografi Nasional menjangka paras air laut di sekitar Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berada pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter.

Fenomena air pasang besar berlaku antara jam 5 hingga 8 pagi semalam dan hari ini dan dijangka berlarutan pada 17 hingga 19 Oktober juga 15 dan 16 November.

Berikutan itu, penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan tidak melakukan aktiviti di pesisiran pantai sebagai langkah berjaga-jaga.


Pengarang :