AGENDANASIONAL

Pelanggan digesa hubungi CIMB jika perlu lanjutan moratorium

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: CIMB menggesa para pelanggannya yang memerlukan bantuan kewangan selanjutnya untuk menghubungi bank itu secepat mungkin sebelum tempoh moratorium pinjaman selama enam bulan berakhir pada Rabu ini.

Menurut bank itu, ia mula menghantar surat, pemberitahuan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan emel untuk memberi peringatan mengenai pembayaran semula bermula Oktober ini kepada semua peminjam yang belum menghubungi pihaknya.

“Peminjam yang memohon pelepasan itu atau menerima tawaran penstrukturan semula dan penjadualan semula (R&R), tidak akan menjejaskan status Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak awal Ogos, bank itu secara proaktif melibatkan 380,000 individu dan 10,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpotensi untuk terjejas teruk akibat impak pandemik Covid-19.

“Seterusnya, CIMB meluluskan program bantuan kewangan bersasar (TAP) CIMB bernilai hampir RM7 bilion dan bantuan kewangan yang lain kepada lebih 40,000 pelanggan individu, dengan kadar kelulusan menghampiri 100 peratus.

“CIMB turut meluluskan TAP bernilai lebih RM2.5 bilion kepada PKS, hampir RM700 juta di bawah Kemudahan Bantuan Khas Bank Negara Malaysia (BNM) dan kemudahan bantuan tambahan hampir RM400 juta menerusi bank kami sendiri serta komited sepenuhnya untuk menyokong skim pembiayaan daripada kerajaan kepada PKS bernilai RM1 bilion di bawah Penjana (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara),” kata bank itu.

Pelanggan terjejas yang belum menghubungi bank itu boleh berbuat demikian atau melawat mana-mana cawangan atau pusat pembiayaan auto CIMB untuk pertanyaan mengenai pilihan bantuan kewangan, termasuk tawaran R&R.

Pelanggan PKS boleh menghubungi https://www.cimb.com.my/frap untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, SME Bank dalam kenyataan berasingan berkata pihaknya menawarkan lanjutan bersasar bagi moratorium dan bantuan kepada hampir semua pelanggan yang layak di bawah Program Kemudahan PKS (SRP) yang diumumkan pada Ogos 2020.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata program itu melibatkan 3,090 pelanggan dengan nilai pembiayaan berjumlah melebihi RM4.8 bilion yang menyasarkan pelanggan lima sektor PKS dan kategori kecil dan mikro iaitu pelancongan, pendidikan, pengangkutan awam, kesihatan dan stesen minyak.

“Menerusi bantuan seperti program SRP, kita boleh mencapai kestabilan dalam ekosistem keusahawanan, memulihkan operasi perniagaan dalam jangka sederhana dan memastikan usahawan kekal kompetitif dan berdaya tahan selepas terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Aria Putera Ismail berkata program itu menawarkan lanjutan selama 12 bulan kepada pembiayaan sedia ada dengan 66 peratus pelanggan menerima tawaran lanjutan moratorium sehingga 12 bulan dan 15 peratus lagi menerima pakej tidak membayar faedah selama enam bulan.

“Pelanggan yang lain diberikan kemudahan menjadualkan semula pembiayaan mereka,” katanya.

Program SRP akan bermula sebaik sahaja tempoh moratorium BNM berakhir pada Rabu ini.

-BERNAMA


Pengarang :