BERITA UTAMASELANGOR

Rakyat dipelawa sertai pertandingan Logo Belanjawan Selangor 2021

SHAH ALAM, 3 SEPT: Kerajaan Negeri mempelawa pereka grafik tanah air mempamerkan kreativiti dengan menyertai pertandingan mencipta Logo Belanjawan Selangor 2021 yang dibuka mulai hari ini sehingga 21 September depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peserta boleh menyertai pertandingan tersebut dengan melayari www.amirudinshari.com/selangor2021-pertandingan.

“Pertandingan sebegini mencerminkan prinsip Kerajaan Selangor yang sentiasa bersikap inklusif dan menggalakkan penglibatan awam, terutamanya minda-minda kreatif terbaik negara demi citra terbaik Belanjawan Selangor 2021 dalam bentuk visualisasi logo,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Amirudin pemenang pertama bakal menerima komputer riba MacBook Pro 13” manakala iPad Pro untuk pemenang kedua dan pemenang ketiga membawa pulang iPad Gen 7.

“Pertandingan diadili oleh juri yang terdiri daripada pakar penjenamaan, pereka grafik dan artis visual Malaysia tersohor.

“Pendekatan penghakiman pula berteraskan konsep dinamik dan kontemporari, selari dengan objektif belanjawan,” katanya.

Belanjawan Selangor 2021 akan dibentang pada 30 Oktober di Dewan Negeri Selangor bermula jam 3 hingga 5 petang.


Pengarang :