Konsep akuaponik antara teknologi dalam pertanian yang menggabungkan akuakultur (ternakan ikan air tawar) dan hidroponik (kaedah pertanian berasaskan air). Foto BERNAMA
RENCANAWAWANCARA

Sayuran akuaponik beri nafas baharu industri pertanian Sabah

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah masih terasa hangatnya, dengan pengundian di seluruh negeri itu yang berlangsung semalam.

Namun, dalam kita sibuk berbicara mengenai siapa yang bakal menerajui kerajaan baharu negeri selepas tamat PRN, ada moleknya juga jika kita bawa ketengah kisah-kisah inspirasi dari pelbagai lapisan masyarakat yang berusaha membangunkan ekonomi Negeri Di Bawah Bayu itu, terutamanya melibatkan industri pertanian dan penternakan.

Siapa dapat menyangka, nun jauh di Kundasang, wujudnya satu perusahaan tanaman unik berkonsepkan akuaponik hasil usahasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kinabalu dengan golongan usahawan muda yang mengusahakan tanaman itu di atas tanah seluas 2.83 hektar (tujuh ekar), pada Disember 2019.

Hasil lumayan

Berlokasi di Kampung Desa Aman, Pengurus Besar PPK Kinabalu Muhammad Irwan Maruji menjelaskan, secara teknikalnya, akuaponik adalah satu projek yang menggabungkan dua kaedah iaitu ternakan ikan air tawar dan penanaman sayur dalam satu sistem bersepadu.

“Jenis sayuran yang sesuai ditanam melalui kaedah ini ialah sayur jenis Red Coral Lettuce, Green Coral Lettuce, sawi dan daun sup. Jenis ikan yang sesuai dibela pula ialah ikan tilapia dan keli yang mana sisa buangan ikan itu akan bertindak sebagai baja secara semulajadi kepada tanaman ini dengan melalui satu proses tapisan. Tanaman akuaponik ini boleh dianggap sebagai projek yg bebas daripada bahan kimia. Manakala bagi tanaman jenis konvensional pula ialah tanaman yang diusahakan di atas tanah dengan menggunakan baja organik.

“Kelebihan menggunakan kaedah ini ialah ia tidak menggunakan air yang banyak (tidak seperti kaedah tanaman konvensional), hasil tanaman lebih cepat dituai dan hasil yang lebih berkualiti. Kami turut merancang untuk menjual ikan tilapia yang dibela ini selepas ia mencapai usia matang, menjadikan projek ini bagaikan pepatah “sambil menyelam minum air”, jelasnya.

Menjelas lanjut, proses keseluruhan tanaman bermula dari proses semaian hingga ke proses akhir tuaian hanya memakan masa 3-4 minggu, di samping hasil jualan boleh mencecah kira-kira RM5,600 sebulan bagi keluasan bangunan 223 meter persegi (2,400 kaki persegi).

“Modal untuk membina bangunan sebesar 223 meter persegi beserta peralatan ialah sekitar RM85,000 namun jika dibandingkan dengan hasil jualannya ia mampu membawa pulangan perniagaan yang sangat berbaloi terutama bagi usahawan baharu yang ingin berkecimpung dalam bidang ini.

“Dari segi pemasaran pula, PPK telah menggunakan sepenuhnya peranan Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian yang dimiliki dan dikendalikan sendiri oleh PPK secara usahasama bersama usahawan muda.

Sementara itu, Muhammad Irwan menjelaskan selain projek akuaponik, PPK Kinabalu juga menawarkan usahasama projek hidroponik bersama usahawan muda, yang sehingga kini mempunyai dua usahawan muda wanita yang turut terbabit dengan projek ini, juga dimulakan pada Disember 2019.

Tanaman sayuran secara hidroponik adalah projek yg hampir sama dengan projek akuaponik, namun perbezaan kedua-dua projek ini boleh dibezakan melalui cara pembajaan. Pembajaan bagi tanaman sayuran hidroponik lebih kepada penggunaan campuran baja nutrien A dan B dan projek ternakan ikan tiada diusahakan.

Bangkit semula

Terdahulu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di seluruh negara termasuk di Sabah bermula 18 Mac lepas, dan dalam masa sama ia memberi impak negatif terhadap perkembangan ekonomi di seluruh negara.

Namun kerajaan tetap peka dengan keluhan rakyat marhaen biarpun negara dilanda kelembapan ekonomi sepanjang tempoh sukar itu, dengan pelbagai insentif diberikan termasuklah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) serta Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bagi membantu meringankan beban rakyat.

Untuk Sabah pula, setakat 4 September status pelaksanaan Penjana dan Prihatin adalah dianggarkan lebih RM2.0 bilion yang telah dapat dimanfaatkan rakyat dan golongan usahawan khususnya.

Muhammad Irwan berkata rakyat Sabah khususnya warga PPK Kinabalu dan usahawan muda yang bernaung di bawahnya menganggap fasa PKP sebagai fasa bermuhasabah diri dan berusaha untuk bangkit kembali menggerakkan ekonomi negeri dengan kudrat tulang empat kerat.

“Memang tidak dinafikan, ketika PKP hasil jualan agak perlahan kerana sayuran yang dituai tidak dapat dipasarkan ke kawasan sasaran jualan iaitu sekitar Miri, Kuching dan Brunei. Namun kami sangat bersyukur dengan dana khas RM100,000 hingga RM200,000 kepada setiap PPK di Sabah menerusi Pakej Prihatin kerana ianya sangat membantu golongan petani dan usahawan pertanian di sini.

“Menerusi dana khas itu juga, PPK Kinabalu merancang untuk menambah satu lagi blok seluas 12.19 meter x 18.29 meter (40 kaki x 60 kaki) bagi projek tanaman sayuran secara hidroponik serta memperkenalkan projek baharu tanaman jagung bijirin dan fertigasi gantung bermula Oktober ini. Diharap sekiranya lebih banyak bantuan diberikan, pastinya lebih banyak projek dapat ditawarkan yang bakal memanfaatkan masyarakat setempat,” katanya.

Muhammad Irwan juga menyasarkan untuk meningkatkan jumlah usahawan muda sedia ada kepada 20 orang setiap tahun menerusi kursus-kursus berkaitan akuaponik dan hidroponik yang akan dijalankan pada awal Oktober, di samping pihaknya merancang untuk memperluaskan pasaran hasil jualan sayuran ini ke luar negeri Sabah pada masa akan datang.

Sementara itu, Pemangku Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah Mohd Sabri Jalaludin turut menyambut baik bantuan Prihatin yang diberikan kerajaan kepada pihaknya dengan melaksanakan Projek Penggemukan Lembu yang dilihat mampu memberi impak positif kepada pusingan ekonomi negeri itu.

“Pihak kami mempunyai kepakaran dalam industri penternakan lembu melebihi 10 tahun, sebelum ini kami laksanakan projek integrasi 130 lembu yang diternak di ladang kelapa sawit PPN Sabah di Sandakan. Lembu-lembu ini diternak bagi membantu mengawal pertumbuhan rumput di kawasan ladang ini dan mengurangkan penggunaan racun rumput.

“Menerusi projek terbaharu ini pula, PPN Sabah merancang untuk membeli 40 ekor lembu daripada pembekal lembu di seluruh negeri termasuklah penternak persendirian yang rata-ratanya datang dari kampung, secara tidak langsung kita dapat membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat,” katanya ketika dihubungi.

Untuk musim pertama projek ini yang akan bermula Oktober ini, Sabri menjelaskan lembu yang dibeli ini akan diberi makan dedak penggemuk, kulit gandum dan hampas soya, dan selepas lembu mencapai berat minimum 320 kilogram ia boleh dibeli oleh orang ramai pada harga RM4,000 ke RM5,000 seekor.

Melihat kepada potensi projek ini yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan positif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri itu, pihaknya menyasarkan untuk menambah jumlah lembu kepada 320 ekor menjelang 2021 yang mampu memeriahkan lagi sektor perladangan dan penternakan lembu.

“Kandang lembu sedia ada di Sandakan seluas 2.02 hektar (lima ekar) ini akan turut ditambah baik dan dinaik taraf dengan kos tambahan RM40,000 ditanggung pihak kami, termasuk membina kemudahan mengawal buangan tinja lembu,” tambahnya.

– BERNAMA


Pengarang :