AGENDANASIONAL

Waspada bahan pemasaran palsu guna logo PIDM

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) meminta orang ramai berwaspada dengan bahan pemasaran palsu yang menggunakan nama dan logo PIDM untuk mempromosikan skim pelaburan atau perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PIDM Rafiz Azuan Abdullah dalam kenyataan hari ini menegaskan perlindungan disediakan PIDM kepada pendeposit bank, pemilik sijil takaful dan polisi insurans ialah secara automatik dan percuma serta tidak memerlukan sebarang pembayaran dan pendaftaran.

“Orang ramai juga diingatkan bahawa perlindungan PIDM tidak merangkumi pinjaman dan produk kewangan bukan deposit seperti unit amanah, saham dan pelaburan emas serta perak.

“Sekiranya anda dihubungi oleh pihak yang mengutip bayaran atau yuran bagi perlindungan PIDM, sila maklumkan kepada kami. Maklumat ini dapat membantu kami mengeluarkan amaran kepada orang awam agar lebih berwaspada terhadap percubaan menipu,” katanya.

Beliau berkata orang awam juga boleh merujuk kepada senarai peringatan pengguna yang diterbitkan oleh pengawal selia kewangan lain dan menyemak laman sesawang berkenaan untuk mengetahui nombor akaun bank atau telefon yang telah dilaporkan kepada pihak polis berkaitan penipuan.

PIDM baru-baru ini menerima beberapa pertanyaan daripada pengguna kewangan mengenai perkara itu dan mereka diminta membuat pembayaran untuk mengaktifkan perlindungan PIDM bagi menerima dana daripada pihak ketiga, biasanya dalam bentuk pulangan pelaburan daripada skim, perkhidmatan atau produk kewangan.

Contoh bahan pemasaran atau dokumen yang menyalahgambarkan perlindungan PIDM atau menggunakan nama dan logo PIDM tanpa kebenaran boleh dirujuk di laman sesawang pidm.gov.my

-BERNAMA


Pengarang :