BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Kemelut pusat rujukan waktu, dua tarikh dalam satu negara

Oleh Dr Zamir Mohyedin

Baru-baru ini kita digemparkan dengan persoalan mengapa Greenwich (sebuah bandar di London, United Kingdom) dijadikan rujukan bagi menentukan waktu? Kenapa bukan di Makkah yang menjadi kiblat orang Islam?

Perkara ini menimbulkan keraguan ramai orang kerana dimomokkan dengan perbezaan waktu solat untuk menunaikan pelbagai ibadah seperti rukun ibadah haji, solat Jumaat dan sebagainya.

Katanya kalau Greenwich dijadikan rujukan, solat Jumaat jatuh pada hari Jumaat. Tetapi kalau rujuk Makkah, masih lagi Khamis bukan Jumaat. Kemudian, terdapat perbezaan waktu yang sangat ketara.

Mengikut Greenwich, jarak di antara Makkah dan Malaysia ialah lima jam, tetapi kalau Makkah dijadikan rujukan, jarak di antara Makkah dan Malaysia menjadi 19 jam.

Bagi menyelesaikan kekeliruan ini, kita kena tahu mengapa Greenwich dijadikan rujukan untuk menyesuaikan zon masa di seluruh dunia.

Faktornya ialah Greenwich merupakan tempat terletaknya Meridian Perdana yang mana garisan longitud 0 darjah terletak di situ.

Garisan Meridian Perdana bukan sahaja melintasi Greenwich tetapi di bandar lain juga di Perancis, Sepanyol dan beberapa negara Afrika.

Setiap jarak longitud 15 darjah dari Greenwich ke timur akan ditambah satu jam dan setiap longitud 15 darjah ke Barat akan ditolak satu jam.

Misalnya Makkah terletak di sekitar 40 darjah ke timur. Jadi, jika London jam 12 tengah hari, Makkah jadi sekitar jam 3 petang (GMT+3.00).

Kalau kita pergi ke Makkah, kita perlu selaraskan jam kita kepada GMT+3.00 untuk dapatkan waktu Makkah. Kalau di Kuala Lumpur, kita selaraskan pada GMT+7.00.

Kalau Makkah dijadikan rujukan pun, perbezaan zon masa tetap tidak berubah. Jarak di antara Makkah dan Kuala Lumpur tetap lima jam.

Cuma penyelarasan GMT sahaja akan berubah. Misalnya Kuala Lumpur yang sebelum ini GMT+7.00 akan jadi GMT+5.00. Perkara ini tidak dapat diubah kerana putaran Bumi yang bergerak dari barat ke timur.

 

Meridian Perdana

 

Persoalan mungkin timbul mengapa Meridian Perdana terletak di Greenwich? Bukan di Makkah? Kerana dari 1854 hinggalah ke 1884, ramai pedagang dan pelayar menjadikan Greenwich sebagai rujukan utama bagi menentukan masa dan kedudukan di laut.

Sebelum itu, manusia tidak dapat menentukan longitud Bumi dengan tepat kerana teknologi jam yang belum cukup maju.

Disebabkan ini, banyak malapetaka dan kemalangan terjadi semasa belayar yang boleh meragut banyak nyawa. Tahun 1707 direkodkan sebagai kemalangan laut paling buruk yang pernah melanda British.

Malapetaka itu telah meragut sekitar 2,000 nyawa pelayar kerana longitud tidak ditentukan dengan tepat.

Jam dapat menjadi penentu kedudukan di laut dengan melihat perbezaan di antara waktu tempatan dan waktu jam yang kita miliki.

Waktu tempatan dapat ditentukan melalui bayang matahari. Jika matahari terpacak atas kepala, itu menandakan waktu tengah hari.

Jika jam kita menunjukkan 9 pagi walaupun matahari atas kepala, itu bermakna kita telah berada ke arah timur dari Greenwich – kalau jam kita menjadikan Greenwich sebagai rujukan.

Malangnya jam pada zaman dulu berasaskan pendulum yang tidak begitu tepat. Malah, jam pendulum lebih jauh tersasar jika di atas laut yang terhuyung hayang.

Keadaan ini berubah apabila seorang pereka jam British John Harisson berjaya mencipta jam yang tepat dan kebal daripada sebarang gangguan iaitu jam kronometer pada 1761.

Pada kurun yang sama, ilmu pencartaan bintang juga telah berkembang bagi membolehkan pelayar belayar dengan lebih selamat dan tepat.

Semenjak itu, pada kurun ke-18 ramai pelayar telah dapat menentukan longitud dan kedudukan di laut dengan baik. Malah, masa itu belum ada lagi Meridian Perdana piawai seperti hari ini.

Setiap pelayar mempunyai rujukan masing-masing. Pelayar Perancis menjadikan Paris sebagai Meridian Perdana.

Pelayar Prusia (kini Jerman) menjadikan Berlin sebagai Meridian Perdana. Pelayar Denmark menjadikan Copenhagen sebagai Meridian Perdana.

Namun, majoriti pelayar dan pencartaan dibuat menjadikan Greenwich sebagai rujukan. Pada 1884, sebanyak 22 negara bersepakat untuk menjadikan Greenwich sebagai piawaian antarabangsa sehinggalah pada 1984.

Pada tahun itu, Meridian Perdana dianjakkan sedikit sebanyak 102 meter daripada garisan asal dan digunakan sampailah ke hari ini.

Mungkin ramai yang keliru. Walau Greenwich dijadikan rujukan bagi menyelaras zon masa, ia bukanlah bandar permulaan hari.

Malah, London tetap lebih lewat harinya berbanding Makkah dan Malaysia. Permulaan hari setiap hari ditentukan oleh Garisan Tarikh Antarabangsa yang terletak di tengah-tengah Lautan Pasifik.

Semakin dekat suatu negara itu dengan garisan ini, semakin cepatlah ia terkehadapan dalam kalendar. Malah, paling awal mengalami matahari terbit dan menyambut peristiwa-peristiwa tertentu.

Garisan Tarikh Antarabangsa diletakkan di Lautan Pasifik kerana kawasan itu tidak banyak daratan yang didiami oleh manusia.

Hal ini akan memudahkan pelbagai urusan manusia. Kita tidak akan mengalami kejadian satu negara mempunyai dua tarikh berbeza pada siang hari.

Jika Makkah digariskan sebagai tempat permulaan hari, ia memang boleh menyebabkan perbezaan waktu di antara Mekah dan Malaysia sampai 19 jam.

Perkara ini juga akan menimbulkan pelbagai isu kerana dalam satu garisan longitud yang menyentuh Makkah, banyak penduduk akan mempunyai dua tarikh berbeza dalam satu negara dan kawasan.

Secara kesimpulannya, tiada keperluan untuk menjadikan Makkah sebagai pusat rujukan penyelarasan zon masa dan menjadikannya sebagai zon permulaan hari kerana ia bukan tuntutan dalam agama.

Malah, ia akan menyusahkan dan mengelirukan ramai pihak termasuk umat Islam sendiri.


Pengarang :