BUDAYARENCANA

Diri Manusia Kini

Oleh Daeng Ramliakil

Dia memulas lidah ribuan kali sudah. Hati yang mengepalai perkara. Jasad tersedia jadi abdi atau apa pun.

Bermain berjenaka hingga bila pun asal diri tetap bertiga, itu itu juga. Singgahsana tetap dunia fana’. Ruh, akal jua jasad, kawan sejak terjadi.

Duhai akal, tidak peroleh lagi rupaku dalam duniamu?

Selengkapnya belum.

Bila?

Belum dipastikan lagi.

Jasad?

Perlu?

Ya. Otakmu, matamu dan pembalut kesemua wajar saja jadi alat. Tidak aku jadikan kalian abdi. Kita kesemua yang terbahagi tidak ternama tetap dipersoal.

Kaukira sudah hampiri padang mahsyar itu, dengan itu perlu siap siaga?

Tapaknya kian tersedia dan selagi dua atau aneka pihak itu cergas merata-rata negara itu siang malam pagi petang, di situlah kita.

O ya? Andai begitu, tidakkah jutaan ruh IDF bingung. Mimpi yang bukan sembunyi pasti jadikan masing-masing yang kini pun dihampiri aneka senjata rohani yang tak pernah ragu menyeksa.

Diriku hanyalah unsur halimunan yang diperlukan otak untuk hidup dan beroperasi. Kerap jua sesat. Ada ketika, aku hanyut ke tasik usia. Ada kala, terdampar di pantai bersih putih luas lapang tanpa sempadan.

Kerana itulah jentera, bekerja dan hidupi segera api hingga terbit cahaya. Tanpa tanda, kalian berdua terperangkap dalam alam sesat duniawi.

Hingga saat ini aku tercari-cari cara, terpilih-pilih laluan.

Untuk ke?

Ke akhirat.

Apa perlunya ke situ? Bukankah sudah berkali-kali aku gambarkan alam akhirat itu persis cahaya diri. Menangkapnya, himpun dan rasai tawaran kenikmatan kehadiran di dunia yang begini, begini.

Kesudahannya bagaimana?

Tak perlu dipeduli.

Begitukah? Bimbang juga berbahaya. Misteri padang mahsyar itu berakibat. Ia jadikan sejumlah IDF gila akibat takut. Mereka sudah ribuan jam dihantui maut.

Maut? Apa itu perkaranya?

Ya. Penjelasan jadikan kami berada dalam alam cerah benar.

Maut hanyalah suatu laluan, suatu kejadian, boleh berlangsung sesaat, juga melebihi apa pun ukuran masa.

Menyamai mautnya Ariel Sharon? Mustapha Kamel?

Boleh saja jika ada yang pilih diri jadi begitu. Hanya yang sesat di belantara raya dunia fikiran meracau.

Akibat?

Begitulah. Sebagaimana yang kalian bayangi. Tidak aku saran apa pun yang begitu. Andai kalian baca dan kaji tafsir kesemua ayat dan kalimat suci itu, rupa maut itu jelma.

Begitu?

Jika aku bayangi rupa bersandarkan pada tidur?

Hingga mimpi?

Ya atau tidak.

Tak susah kepada siapa pun yang mencuba-cuba alami maut itu begini begitu.

Jadi?

Alami saja.

Ikut cara nabi Hidhir? Begitu?

O biasa dengan cara begitu? Boleh saja. Mencari air ma’ul hayat turut diperhati Iskandar Dzulkarnain, abang sepupu nabi itu.

Yang dapat hanya nabi Hidhir, padahal ribuan askar dikerah Iskandar.

Ya. Terfikirkah kalian hal anugerah Allah itu tetap. Takdir satu hal. Satu hal lagi, ikhtiar. Muhammad

Rasulullah pun suap makanan ke mulut. Baru berlaku proses makan. Juga apa pun.

Jadi, maut itu bagaimana?

Takut?

Ya dan tidak.

Jadi?

Jadi apa saja.

Tidak begitu tatacara kehidupan yang tersedia.

Maksudmu?

Selagi jadi abdi atau pekerja Ilahi, bekerjalah. Tidak malukah pada darah yang  terus diproses penghasilannya? Nafas yang disedut paru-paru? Mata yang melihat? Bekerja kesemua.

Ke mana-mana kini, kita bertiga berbeza. Satu, Dia. Dua lagi rahsia-Nya.

O, begitukah?

Ya. Segeralah analisis dan lihat rupa.

Jadikan diri jelma rupa, alami apa yang ditentukan. Begitukah yang semestinya?

Ya dan tidak.

Maksudmu?

Tidak aku tentukan. Kalian terokai alam ini begitu, begitulah.

Jadi?

Ya. Apa pun yang berkuasa hanyalah Dia.

Menjadi pekerja di dunia gayanya begitu bersahaja. Ke mana-mana, jadi apa-apa, tak mampu tentukan apa yang terjadi selepas sesaat.

Benar. Selalunya aku ngeri memahami proses. Masa tersedia. Ruang juga. Dan, kita.

Meneroka jadi suatu usaha.

Jadi manusia, tuahnya berganda berbanding haiwan. Paling malang, Azzazil, juga anak buah, syaitan dan iblis.

Terasakah kita jika jadi pengikut mereka, jadilah seumpama anak Nuh Rasulullah dan ibunya yang terjerit-jerit kelemasan dihempas gelombang?

Ya. Turut senasib isteri Luth Rasulullah yang tua dan jadi batu itu.

O, begitukah?

Ya.

Susun lapisan ikut turutan Rasulullah. Yang manakah yang paling asyik? Aku pilih Muhammad Rasulullah.

Alasan?

Fakta. Jenazahnya belum disemadikan sehingga tiga hari tiga malam. Hanya yang hadir pertama, nabi Hidhir. Kedua, syaitan yang sembunyi tetapi bersuara. Tiga, Saidina Ali Fathimah, Hasan dan Husin.

Lagi?

Muhammad tak nyata banyak perkara. Saidina Ali pelajari selengkapnya. Dengan kata-kata, aku ini ialah gedung ilmu, manakala Ali kuncinya.

O, terharu aku.

Juga fahami, tekuni rahsia kejadian demi kejadian. Apakah rahsia sebalik pengalaman Muhammad Rasulullah dengan kesemua ahli familinya.

Ya, juga dengan kesemua sahabatnya.

Ya.

Seperkara yang selalu hadir dalam mata jasadku, gambaran kelahiran Muhammad. Langit pun dicerahi.

Bintang jutaan bercahaya-cahaya keriangan dapat dialami para pemerhati, para saksi.

Kesemua Rasulullah yang lahir ke dunia keadaannya begitu. Muhammad jadi puncak kejadian. Kesempurnaan. Dia ialah ciptaan pertama, nur Muhammad.

Jadi?

Jadi begitulah yang terjadi. Sudah berlalu. Penting, kita telusuri ke hadapan. Yang baqa’.

Yang kekal itu akhirat. Sempurnanya ia jadikan kita terasa selamat sepenuhnya. Jadi ciptaan-Nya pasti tuahnya tak terkira. Yang tak mampu haiwan rasai.

Jin?

Sebahagian. Khusus era Sulaiman Rasulullah tadbir.

O, tuahnya tak terkira.

Islamnya jin itu bagaimana? Persis bunian?

Tak setinggi manusia. Mereka tak capai maqrifatullah.

Sebab?

Urusan ilmu dan amalan. Kasyaf itu puncak cara, laluan dan lif untuk dialami.

Jadi?

Alami sesudah ilmu menjadi jelas.


Pengarang :