Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad (tengah, berdiri) bergambar dengan sebahagian peserta yang menyertai program santai bersama anak muda menonton filem Sheriff di Aeon Rawang pada 26 April 2024. Foto NAZLI IBRAHIM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Bawa lebih 100 anak muda tonton filem Sheriff, pupuk kesedaran bahaya dadah

GOMBAK, 27 APRIL: Lebih 100 anak muda sekitar Kuala Kubu Bharu dibawa menonton filem Sheriff: Narko Integriti di Aeon Rawang, di sini pada 26 April lalu.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batang Kali berkata program santai berkenaan bertujuan mendekati golongan muda dan memberi kesedaran bahaya dadah.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad ketika program santai bersama anak muda menonton filem Sheriff di Aeon Rawang pada 26 April 2024. Foto NAZLI IBRAHIM/SELANGORKINI

“Sekali-sekala kena ada program tidak formal,lebih santai seperti menonton wayang kerana lebih menarik minat anak muda selain boleh ambil pengajaran dalam filem ini,” kata Saifuddin Shafi Muhammad.

Menurutnya, program berkenaan turut mendapat kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Pencegahan Dadah Malaysia (Pemadam).

“Pelbagai program mendekati anak muda dengan kerjsama AADK dan Pemadam akan diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Filem Sheriff dibintangi Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Daton Aaron Aziz, Azira Shafinaz dan Elizabeth Tan mengisahkan anggota polis dari Jabatan Integriti iaitu Sheriff bergandingan dengan Nazri, seorang anggota polis muda dari Jabatan Narkotik untuk menumpaskan sindiket dadah.

Filem yang turut mengangkat subjek ‘polis tangkap polis’ terbitan dua syarikat gergasi, Skop Productions dan Astro Shaw meraih kutipan RM22.1 juta selepas tujuh hari sejak mula ditayangkan pada 18 April.


Pengarang :