AGENDAEKONOMINASIONAL

Agrobank: Tingkat jaminan bekalan makanan, tawar skim biayai usahawan

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Agrobank kekal fokus terus menyumbang ke arah pembangunan sistem makanan yang mampan dengan meningkatkan jaminan bekalan makanan menerusi pelbagai program pembiayaannya.

Dalam satu kenyataan bersempena sambutan Hari Makanan Sedunia pada semalam, Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif bank itu, Khadijah Iskandar berkata walaupun Malaysia tidak berhadapan sebarang krisis bekalan makanan pada masa ini, namun pandemik Covid-19 perlu dilihat sebagai ‘peringatan awal’ untuk membuat persiapan atau tindakan pantas sewajarnya.

“Bagi mencapai tahap mampu diri dari segi bekalan makanan negara, adalah perlu bagi Malaysia untuk tidak terlalu bergantung kepada produk makanan tertentu sahaja.

“Pemantauan secara berterusan terhadap harga makanan juga akan dapat membantu memastikan jaminan bekalan makanan, terutamanya pada saat-saat krisis,” katanya.

Malah, sejajar usaha memastikan kelangsungan dan memacu daya maju pengusaha komoditi pertanian dan makanan, kerajaan telah mewujudkan Dana Agromakanan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan peruntukan sebanyak RM350 juta.

Dana itu disediakan untuk semua pengusaha sektor pertanian dan makanan yang layak termasuk di Sabah dan Sarawak melalui Skim Pembiayaan Kredit Mikro Agrobank.

Program itu menyediakan kemudahan pembiayaan mencecah RM50,000 untuk setiap pengusaha yang layak sehingga lima tahun dengan kadar 3.5 peratus dan tidak memerlukan sebarang cagaran.

Selain itu, Agrobank juga menawarkan dana Agrofood Facility (AF) melalui Bank Negara Malaysia (BNM), dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan pengeluaran makanan bagi pasaran domestik dan eksport.

Di bawah program itu, pemohon yang layak boleh mendapat pembiayaan sehingga RM150,000 bagi tempoh sehingga lapan tahun manakala kadar keuntungan pembiayaan adalah sehingga 3.75 peratus setahun (termasuk fi jaminan, sekiranya ada).

“Melalui pelbagai program-program pembiayaan ini, Agrobank menyeru para usahawan untuk mengambil peluang ini bagi mengumpulkan modal perniagaan sedia ada dan pada masa sama dapat mendorong lebih ramai orang untuk menceburi perniagaan agromakanan dengan mendapatkan modal permulaan daripada kami,” katanya.

Sementara itu, bersempena sambutan Hari Makanan Sedunia yang jatuh pada 16 Oktober setiap tahun, Khadijah berkata Agrobank turut berdiri teguh bersama komuniti agro global dalam usaha meningkatkan akses terhadap makanan selamat, berkhasiat selain menjamin bekalan makanan untuk generasi akan datang.

“Kami berbangga dapat turut sama menyokong impian perniagaan agro mereka dan pembiayaan kami merentasi rantaian nilai pertanian, tidak kiralah perniagaan kecil, PKS dan syarikat korporat,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :