Suasana di sekitar Plaza Hentian Kajang kelihatan lengang berikutan arahan PKPD berkuatkuasa semalam sehingga 10 November ketika tinjauan pada 28 Okt 2020. Foto BERNAMA
SELANGOR

Covid-19: Hulu Langat catat 18 kes baharu, tertinggi di Selangor

SHAH ALAM, 31 OKT: Hulu Langat menjadi daerah tertinggi merekodkan kes baharu Covid-19 hari ini dengan 18 kes, menurut data Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS).

Data menunjukkan 13 kes dilaporkan berlaku di mukim Kajang membabitkan enam kes saringan kontak rapat kes positif, saringan kluster Hentian (empat) dan saringan kluster Bah Kenangan, Mentari serta saringan tempat kerja masing-masing satu.

“Dua kes di mukim Ampang dikesan melalui saringan kontak rapat manakala mukim Cheras membabitkan kes saringan bergejala (satu) dan saringan kontak rapat kluster Kaya (satu).

“Di mukim Semenyih pula satu kes dikesan menerusi saringan kontak rapat,” menurut BGNS.

Sementara itu, Petaling merekodkan 12 kes, Kuala Langat (11), Sepang (enam), Klang (tiga), Gombak (tiga) dan Kuala Selangor (satu).

Enam zon di negeri ini masih berstatus merah meliputi Petaling, Hulu Langat, Klang, Gombak, Sepang dan Kuala Langat manakala Kuala Selangor, Hulu Selangor serta Sabak Bernam berada dalam zon kuning.

Hari ini kes Covid-19 di Selangor kembali ke dua digit apabila merekodkan 55 kes dengan satu daripadanya jangkitan import membabitkan warga asing.

Sehingga 12 tengah hari tadi, Selangor mengumpul sebanyak 4,700 kes Covid-19 setakat dengan 1,118 daripadanya aktif dan 113 pesakit pulih serta tiada kematian dilaporkan.


Pengarang :