Kanak-kanak di Taska Si Comel Perbadanan Putrajaya diajar mematuhi penjarakan sosial ketika bermain atau belajar bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak ketika tinjauan di taska tersebut pada 3 Jun 2020. Foto BERNAMA
EXCOSELANGOR

EXCO saran operasi taska zon hijau, kuning dibenarkan

SHAH ALAM, 31 OKT: Kerajaan disaran membenarkan operasi taska atau pusat asuhan di zon hijau dan kuning bagi memudahkan urusan ibu bapa bekerja.

EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata penutupan taska di kawasan yang tidak merekodkan kes turut memberi kesan besar kepada pengusaha taska.

“Kita harap kajian dilakukan. Melalui data kita boleh lihat kawasan mana terkesan jadi kawasan itu kita tutup atau tidak benarkan taska beroperasi.

“Ketika ini semua taska ditutup. Ibu bapa yang bekerja dan terpaksa menanggung risiko menghantar anak kepada pengasuh tidak berdaftar,” kata Dr Siti Mariah Mahmud kepada SelangorKini hari ini.

Susulan itu, beliau berhasrat menyuarakan perkara itu kepada Kerajaan Persekutuan dan berharap ia dipertimbangkan.

“Saranan ini termasuk pengendalian taska dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat,” katanya.

Ketika ini, semua sekolah dan taska seluruh Selangor tidak dibenarkan beroperasi ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sehingga 9 November ini.


Pengarang :