Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
AGENDANASIONAL

Ketirisan perolehan: KSN bincang dengan SPRM

KUALA TERENGGANU, 1 OKT: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung dakwaan ketirisan perolehan kerajaan membabitkan penjawat awam.

Katanya, perkara tersebut perlu diatasi segera kerana dikhuatiri merencat proses pemulihan ekonomi, apatah lagi negara sedang berdepan dengan wabak Covid-19.

“Jadi perkara ini pun saya akan bincang apakah tindakan susulan atau tindakan pencegahan yang boleh kita ambil.

“Sudahlah pemulihan eknomi kita berjalan dengan agak perlahan disebabkan Covid-19, ditambah pulak dengan berlakunya ketirisan, saya khuatir kalau-kalau negara ini tidak dapat berkembang maju seperti perancangan kita sebelum ini,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Kompleks Baharu SPRM Terengganu di Bandar Baru Bukit Besar, di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Zuki berkata negara ini telah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa ketika mendepani Covid-19, antaranya Global Covid-19 Recovery Index, sehingga Ogos 2020 yang meletakkan Malaysia di kedudukan keempat terbaik dalam kalangan 184 negara di dunia, manakala menerusi Indeks Toluna-Blackbox bagi Pengurusan Persepsi dan Krisis di kedudukan kelima, berbanding 23 negara.

Katanya, ia membuktikan kesungguhan dan komitmen penjawat awam dalam menterjemahkan strategi yang telah diatur kerajaan, seperti inisiatif Penjana dan Prihatin.

“Usaha memulihkan dan melonjakkan semula ekonomi negara memerlukan usaha yang lebih jitu dan komited dari semua penjawat awam.

“Inisiatif segera pasca Covid-19 seperti pelaksanaan projek berimpak tinggi dan penyaluran bantuan kepada rakyat, sudah pasti akan terencat sekiranya terdapat isu-isu rasuah dan korupsi berlaku di kalangan penjawat awam itu sendiri,” katanya.

Sementara itu Azam yang turut hadir dalam majlis tersebut, memberitahu pemberita bahawa pihaknya telah menyiapkan kertas siasatan berkaitan kes penipuan pembelian hartanah di Melbourne, Australia oleh pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang juga bekas ahli politik pada 2015.

Sehubungan itu, pihaknya menjangkakan proses pendakwaan terhadap dua atau tiga individu itu akan dapat dijalankan dalam tempoh dua atau tiga minggu dari sekarang.

“Kes hartanah Mara kita dah siapkan kertas siasatan, cuma pihak Timbalan Pendakwa Raya sedang meneliti kes berkenaan.

“Dan sekiranya dipersetujui adalah individu yang akan dituduh di mahkamah. Pada saya kes ini adalah ‘high profile’,” katanya yang turut memaklumkan telah membuka 27 kertas siasatan berkaitan rasuah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lepas.

– BERNAMA


Pengarang :