Anggota polis melakukan sekatan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan berhadapan bangunan Majlis Perbandaran Klang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan Covid-19 pada 20 Mac 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
SELANGOR

Polis tambah sekatan jalan raya di Bandar Puteri, Taman Suria Pendamar

SHAH ALAM, 9 OKT: Polis akan mengadakan sekatan jalan raya dan penutupan jalan di dua lokasi tambahan mulai tengah malam ini susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata dua lokasi itu ialah di Bandar Puteri, Klang (Jalan Gelang 8) dan di Taman Suria, Pendamar (Flat Suria Pendamar), Pandamaran.

“Di Bandar Puteri, sekatan jalan raya akan dilakukan di Lebuh Gelang 1 arah kanan manakala Lebuh Gelang 1 menghala ke Jalan Johan Setia akan ditutup. Di Taman Suria pula, sekatan jalan raya akan dilakukan di jalan masuk ke Jalan Selat Selatan 14 sementara Jalan Selat Selatan 14 menghala ke Jalan Banting-Pandamaran akan ditutup sehingga tamat tempoh PKPB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata orang ramai yang ingin keluar masuk ke Bandar Puteri (Jalan Gelang 8) dan Taman Suria Pendamar (Flat Suria Pandamaran) dikehendaki mendapatkan surat kebenaran daripada pihak polis.

“Tindakan kompaun akan dikenakan sekiranya terdapat ketidakpatuhan kepada tatacara operasi piawai PKPB,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :