Smart Selangor Delivery Unit adalah anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri yang diberikan mandat untuk menerajui pembangunan program Smart Selangor. Foto: ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pusat kawalan pintar tingkat kelancaran operasi ketika kecemasan

SHAH ALAM, 31 OKT: Pusat Kawalan Smart Selangor (C5i) yang kini di peringkat akhir pembinaan bakal meningkatkan kecekapan operasi pelbagai agensi sekiranya berlaku kecemasan.

Pengarah urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berkata teknologi pintar membolehkan pengumpulan data dilakukan dengan pantas sekali gus memudahkan proses atur dan gerak pihak berkuasa.

“Pusat C5i memastikan operasi kawal dan perintah dijalankan bersama melibatkan Unit Pengurusan Bencana Negeri, polis, Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa tempatan serta pelbagai agensi lain.

“Kecekapan operasi pusat C5i turut disokong jaringan kamera litar tertutup (CCTV), papan pemuka utama pintar dan komputer,” kata Dr Fahmi Ngah kepada SelangorKini hari ini.

Semalam ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Menteri Besar mengumumkan pembinaan pusat tersebut di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri seiring sasaran Negeri Pintar menjelang 2025.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pusat C5i menjadi infrastruktur utama berasaskan jaringan internet Gigabit dan Tier-4 ready Cloud Data Centre.

Jelasnya dianggar 2,000 unit CCTV akan dipasang di seluruh negeri dengan projek rintis 100 unit di pusat bandar Shah Alam untuk mewujudkan konsep Smart Selangor Safe City.

Pembangunan Pelan Tindakan Smart Selangor 2025 bakal melengkapkan Blueprint Smart Selangor 2016 yang menetapkan empat pelaksanaan iaitu kerajaan pintar, ekonomi pintar, komuniti pintar dan infrastruktur digital pintar.


Pengarang :