Keadaan semasa Sungai Gong selepas mengalami insiden pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang yang mengakibatkan hampir 1.2 juta akaun pengguna sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air ketika tinjauan pada 5 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAHNASIONAL

Dua beranak punca pencemaran Sungai Gong didakwa esok

SHAH ALAM, 2 NOV: Dua beranak yang juga merupakan pengarah syarikat akan didakwa di Mahkamah Selayang esok susulan pencemaran Sungai Gong, dua minggu lalu.

Ketua jabatan siasatan jenayah Selangor berkata kedua-duanya berusia 61 dan 31 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Datuk Fadzil Ahmat berkata suspek turut didakwa mengikut Seksyen 25(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara hari ini. Enam lagi yang ditahan sebelum ini berusia antara 25 hingga 66 tahun akan dijadikan saksi pendakwaan.

“Mereka diikat jamin dengan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Acara Jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Fadzil berkata setakat ini pihaknya telah menjalankan siasatan terhadap lima kes pencemaran sungai di negeri ini.

“Pencemaran Sungai Gong merupakan kes kedua dituduh selepas kami mengambil tindakan tegas pada September lalu,” katanya.

Oktober lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas selepas pencemaran dikesan.

Susulan itu, lebih 1.1 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan sekitar wilayah Kuala Lumpur, Shah Alam/Klang, Kuala Langat, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air.


Pengarang :