Karsten Neitzel. Foto laman web Persatuan Bolasepak Selangor
AGENDASUKANKINI

Karsten Neitzel ketua jurulatih baharu Selangor

SHAH ALAM, 16 NOV: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengumumkan pelantikan Karsten Neitzel sebagai ketua jurulatih pasukan Red Giants untuk saingan Liga Malaysia tahun depan.

Pengarah teknikal FAS berkata jurulatih berusia 52 tahun dari Jerman itu memiliki pengalaman luas dalam bola sepak dan pemilihannya tepat untuk membawa Selangor ke tahap lebih tinggi.

“Neitzel berpengalaman menguruskan pasukan Bochum VFL, SV Eleversberg serta membawa Holstein Kiel ke divisyen dua Liga Jerman. Beliau juga pernah bermain untuk pasukan Freiburg di Bundesliga,” kata Michael Fiechtenbeiner dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Neitzel tiba di tanah air pada pertengahan bulan lalu dan melengkapkan proses kuarantin ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurut Feichtenbeiner, ketua jurulatih tersebut mahu mencipta nama dalam arena bola sepak Asia dan yakin mempunyai motivasi untuk membuktikan kemampuannya di Malaysia.

“Tumpuan kami adalah melahirkan pemain sendiri untuk beraksi dalam Liga Malaysia,  jadi kami perlukan ketua jurulatih yang terbuka menggunakan pemain muda.

“Neitzel jurulatih yang berani. Jika beliau nampak kualiti yang bagus pada pemain muda, beliau akan berikan peluang,” kata Feichtenbeiner.

Sebelum ini, FAS menggugurkan B Sathianathan daripada skuad susulan kekalahan memalukan 1-6 ke atas Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim pada 19 September.


Pengarang :