Jenazah Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mendiang Koperal Baharuddin Ramli, 54, yang terkorban pada 24 November 2020 dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk disemadikan di kampung halamannya di Negeri Sembilan. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

MB zahir takziah kepada keluarga Kpl Baharuddin Ramli

SHAH ALAM, 24 NOV: Dato’ Menteri Besar menzahirkan takziah kepada keluarga anggota polis mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang maut ditembak ketika bertugas awal pagi tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan jasa dan pengorbanan mendiang dalam mempertahankan keselamatan negara simbol keperwiraan selaku anggota polis.

“Saya melahirkan rasa hiba dan sayu dengan berita pemergian mendiang Koperal Baharuddin Ramli ketika bertugas.

“Jasa dan pengorbanan beliau mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara adalah simbol keperwiraan anggota polis. Takziah diucapkan kepada keluarga mendiang,” tulisnya di Twitter.

Pada masa sama Amirudin turut mendoakan Koperal Norihan Tari yang cedera dalam kejadian sama supaya segera sembuh dan diberikan kekuatan.

“Di samping itu saya turut mendoakan agar Koperal Norihan Tari yang turut tercedera ketika bertugas agar sembuh dan pulih dari kecederaan. Semoga diberi kekuatan dan kesihatan,” katanya.

Bernama melaporkan kejadian berlaku apabila kedua-dua anggota polis itu berbalas tembak dengan kumpulan penyeludup di Tembok Sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis.

Kejadian pada 2.30 pagi itu melibatkan dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang menjalankan tugas risikan di kawasan berkenaan.

Kpl Baharuddin Ramli, 54, daripada Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, PGA, yang terkena tembakan di bahagian kiri perut, maut di tempat kejadian manakala rakan setugasnya Kpl Norihan a/l Tari dari Pos Kawalan Sempadan, berada dalam keadaan kritikal akibat tiga das tembakan di rusuk serta perut dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar.

Norihan, 39, selesai menjalani pembedahan di HTF petang tadi dan dilaporkan dalam keadaan stabil.


Pengarang :