Mohiddin Abas menunjukkan pelbagai jenis pau yang dihasilkan syarikat Nur Iman Frozen Food & Supply
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Ratus ribu ditipu pekerja, bangkit dengan bantuan Hijrah

Foto Fikri YUSOF

Jualan pau habis tetapi jangankan untung, modal pun tidak lepas. Keadaan itu menghampakan Mohiddin Abas, 67, apatah lagi situasi itu berlarutan hampir setahun.

Malah, pemilik Nur Iman Frozen Food & Supply, syarikat pengeluar pau atas jenama Nur Iman, pernah mendapat jualan RM2 sahaja walau 10,000 pau habis terjual pada 2017.

Pada masa itu, jualan pau dibuat melalui pekerjanya yang berurusan terus dengan peniaga secara ambil dulu, bayar kemudian.

Selepas diselidik, rupa-rupanya pekerjanya tidak amanah. Wang peniaga tidak sampai ke tangan beliau sebaliknya masuk ke kocek pekerja. Mereka juga mengambil cengkeram RM500 bagi setiap pengukus pau tanpa pengetahuan Mohiddin. Bahkan, ada pekerjanya menjual pengukus, daripada 240 cuma tinggal 190 sahaja.

Selepas dicongak, kerugian mencecah RM200,000. Mohiddin tiada pilihan selain memecat tujuh jurujualnya. Namun, penipuan itu tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk terus berniaga.

Melalui pinjaman dan tunjuk ajar Hijrah, Mohiddin memperbaiki kelemahan operasi perniagaan. Beliau menggunakan khidmat ejen bagi meluaskan jualan dan mengelakkan penipuan berulang.

Kini, pau keluaran syarikatnya dipasarkan ke 190 lokasi antaranya restoran, stesen minyak dan gerai penjaja di Lembah Klang dan negeri lain.

Pau inti kacang keluaran Nur Iman yang mendapat pujian orang ramai kerana kelembutannya

Kumpul modal

Mohiddin memulakan perniagaan mengeluarkan pau pada 2011 menggunakan wang simpanan yang dikumpulkannya ketika bekerja sebagai ejen insurans.

Dengan lima pengukus di sebuah kedai yang disewa RM600 sebulan di Batu Caves, beliau menghasilkan kira-kira 1,000 pau sehari untuk dipasarkan sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur.

Pau keluarannya terdiri daripada inti kacang, kaya, kelapa, coklat, ayam dan daging, semuanya dibuat sendiri bukannya dibeli dari pihak ketiga. Malah, ramai memuji paunya lebih lembut.

Mohiddin bersyukur kerana Hijrah banyak membantu kebangkitan semula perniagaannya selepas berdepan penipuan pekerjanya. Bukan setakat pinjaman dan nasihat, agensi Kerajaan Negeri juga membantu perniagaannya dengan kerap menempah pau untuk majlis istimewa seperti majlis rumah terbuka.

“Saya tidak pernah membuat pinjaman dengan mana-mana pihak kecuali dengan Hijrah sebanyak dua kali RM30,000 pada 2018 dan RM50,000 pada tahun ini untuk membeli mesin-mesin kilang,” katanya kepada SelangorKini baru-baru ini.

Selain Hijrah, Pejabat Adun Batu Caves, kini Sungai Tua, banyak menempah pau keluarannya. Bahkan Dato’ Seri Amirudin Shari ketika belum menjadi Dato’ Menteri Besar ada melawat kilangnya pada 2016.

Rentas negeri

Sedikit demi sedikit, jenama Pau Nur Iman berkembang maju hingga menjangkau ke Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan.

Proses penghasilan pau Nur Iman yang turut dipasarkan ke negeri lain

Syarikatnya kini memiliki lebih 190 pengukus, lapan mesin untuk memproses pau, antaranya mesin penguli, penggelek, dapur kuali tembaga dan bilik sejuk beku dengan nilai anggaran kira-kira RM400,000.

Mohiddin juga mengalakkan golongan berpendapatan rendah supaya memulakan perniagaan pau secara kecil-kecilan.

“Saya amat menggalakkan usahawan muda ambil peluang berniaga pau kerana risiko tidak tinggi dan pengukus juga saya sediakan secara percuma tanpa mengenakan sebarang deposit tetapi apa yang perlu hanyalah usaha gigih dan berdoa,” katanya.


Pengarang :